01 Disember 2013

Rakyat Islam Thai mahu sengketa Bangkok selesai aman

27 Muharram 1435H. [MOD] -
PATTANI:  Penyokong dan penentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra di luar ibu kota Bangkok semakin lantang menunjukkan sokongan mereka.

               
Di lima wilayah selatan, walaupun menghadapi keganasan, penduduknya yang beragama Islam mahukan masalah tersebut diselesai secara aman. 

Semalama, lebih 300 orang penduduk mewakili pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Pattani untuk mengisytihar pendirian menyokong masalah diselesaikan secara aman dan menghargai system demokrasi negara itu. 
               
Mereka yang mewakili Majlis Agama Islam di lima wilayah selatan (Pattani, Yala, Narathiwat , Songkhla dan Satun), pemimpin tempatan, wakil Sekolah Agama Islam, pemimpin agama tempatan, pelajar dan kumpulan sivik menyatakan pendirian teguh mereka supaya masalah politik yang sedang melanda negara diselesaikan dengan cara aman dan menghargai sistem demokrasi negara.
               
Mereka juga menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Yingluck.
               
Waederamae Matmangchik, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, meminta pihak penentang kerajaan supaya berunding agar tidak merosakkan negara.
               

Ditemubual di majlis tersebut, beliau berkata yang bersengketa semuanya rakyat Thai dan penyelesaian melalui rundingan membantu negara terus maju. 


- Bernama

Tiada ulasan: