01 Disember 2013

Thailand: Kumpulan anti-Thaksin serang kenderaan awam

27 Muharram 1435H. [MOD] -
BANGKOK:  Sekumpulan ratusan orang terdiri daripada kebanyakannya pemuda mendakwa sebagai pelajar Universiti Ramkhaeng yang menentang kumpulan Thaksin, didapati menyerang kenderaan awam sejak, petang semalam.

               
Setakat ini, sekurang-kurangnya dua buah bas rosak dalam serangan ganas menggunakan kayu, batu bata dan botol, berhampiran universiti berkenaan.

Serangan pertama di dalam bas berlaku pada kira-kira 6.30 waktu tempatan di sini dan menurut saksi, seorang pemandu bas mengalami kecederaan selepas terkena batu bata.
               
Serangan terbaharu sekitar 8.40 malam ke atas sebuah bas yang membawa sekurang-kurangnya 10 penumpang.
               
Wanita di dalam bas berkenaan menjerit kerana terkejut dan ketakutan berikutan serangan itu, lapor wartawan Bernama yang berada di tempat kejadian.

Ini kejadian dahsyat, tetapi nasib baik tiada siapa yang cedera setakat ini, kata seorang awam. 
               
Kumpulan itu menyerang bas dan teksi dan menurut saksi, ketika itu tiada pihak yang menghalang mereka. Pasukan keselamatan tidak kelihatan sehingga pukul 8.30 malam. Meskipun mereka berada berdekatan, tiada sebarang tindakan dilakukan untuk menghentikan kumpulan berkenaan.
               
Kumpulan pemuda itu menjerit sambil saling mengingatkan antara mereka agar berwaspada terhadap penyokong Baju Merah prokerajaan yang berjalan ke perhimpunan di Stadium Nasional Ratchmangala, yang terletak di kawasan sama dengan Universiti Ramkhaeng.
               
Stadium berkenaan merupakan satu-satunya lokasi di mana para penyokong prokerajaan berkumpul.
               
Terdapat juga laporan bahawa pertempuran berlaku berdekatan stadium dan sesekali terdapat bunyi seperti letupan bunga api atau tembakan pistol.
               
Ini adalah serangan keganasan yang pertama dilaporkan dalam protes yang berlarutan selama lebih sebulan, bermula dengan protes terhadap Rang Undang-undang Pengampunan yang ditarik balik, kepada isu-isu lain seperti anti-rasuah, peletakan jawatan kerajaan dan penubuhan sebuah kerajaan rakyat.
               
Pemimpin protes dijangka mengumumkan hari ini, berhubung cubaan menduduki Rumah Kerajaan, yang merupakan pejabat Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
               
Sementara itu, menurut Sukarelawan Penyelamat Yayasan Ruamkatayu, seorang lelaki terkena tembakan dan dua lagi cedera di kepala akibat terkena lontaran batu bata.
               
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Phatpanya di sini.


 - Bernama

Tiada ulasan: