01 Disember 2013

Baik terima gaji berbanding rasuah dan pecah amanah

27 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: “Berbanding mulut dan perut disumbat rasuah dan wang pecah amanah, baiklah menerima gaji secara halal biarpun tinggi nilainya,” kata AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan.


Beliau berkaya, kiranya kenaikan gaji yang tinggi itu sepadan dengan tugasnya yang berat dan banyak, membantu masyarakat miskin dan berkongsi sebahagian pendapatannya dengan rakyat yang memerlukan, pula menghadapi kos sara hidup yang tinggi, maka ia berhak memilikinya.

Tambahnya, semoga dengan gaji yang telah cukup tinggi tidak lagi mendorong mereka culas menjalankan amanah secara tekun dan dedikasi serta mencari makan secara haram melalui rasuah dan pecah amanah.

“Namun kiranya masih memamah harta secara batil dan haram sedang gaji telah diberikan dengan kadar yang tinggi dan sangat mencukupi, maka ia adalah selaknat-laknat pemimpin,” tulisnya menerusi facebook.

Ahli Parlimen Temerloh itu menambah, gaji yang diberi adalah berbeza keadaannya dari satu segmen penerima dengan satu segmen penerima yang lain. 

“Contoh gaji seorang guru adalah 100 peratus kembali kepada guru kecuali potongan wajib seperti KWSP atau cukai pendapatan dan sebagainya berbeza dengan gaji seorang wakil rakyat khususnya wakil rakyat pembangkang, sebahagian besar gajinya terpaksa diguna untuk menjalankan tugas rasmi sebagai wakil rakyat seperti kos pusat khidmat, bantuan fakir miskin, aktiviti ziarah, kenduri kendara, sakit mati dan sebagainya,” ujarnya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: