KEMAMAN: Akibat terputus bekalan makanan ketika banjir melanda sekitar kawasan Felda Seberang Tayor, dekat sini, minggu lalu, mendorong mangsa banjir sanggup melakukan apa saja termasuk menangkap ternakan yang hanyut untuk dijadikan lauk.
Mereka adalah antara 200 orang daripada 30 keluarga peneroka Felda terbabit yang ditempatkan di Dewan Sivik berikutan banjir paling buruk sejak rancangan tanah itu dibuka pada 1964.
Seorang mangsa, Maria Mohamad, 38, berkata keluarganya terpaksa berpindah serta merta apabila air mula naik secara mendadak pada 2 Dis lepas ke dewan sivik bagi menyelamatkan diri.
Katanya, sebelum itu dia sudah menempatkan pelbagai barangan di atas alang rumah yang dikira selamat kerana rumahnya berada di kawasan tinggi.
"Namun, air naik di luar jangkaan sehingga esoknya saya melihat kawasan sekitar terutama kawasan rendah menjadi lautan dengan semua rumah peneroka hanya nampak bumbung.
"Saya hanya mampu menyelamatkan diri dan anak-anak yang semuanya tinggal sehelai sepinggang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat sivik berkenaan di sini hari ini.
Maria berkata, pengalaman yang tidak mungkin dilupakannya adalah apabila bekalan makanan untuk menampung keperluan mangsa di pusat pemindahan itu terputus dan hanya tinggal sedikit beras.
Katanya, ketika itu air banjir mencecah sehingga paras bumbung rumah dan menghanyutkan pelbagai barangan termasuk ternakan akibat arus deras.
"Oleh kerana bekalan makanan terputus, kami mangsa banjir terfikir untuk mendapatkan makanan dan ketika itu juga terdapat ternakan seperti ayam dan kambing dihanyutkan air banjir.
"Kami sempat menangkap tiga ekor kambing yang hanyut melalui pusat pemindahan itu, yang ditangkap oleh penduduk yang kemudian disembelih. Kami fikir daripada mati begitu saja kambing yang hanyut itu lebih baik kami sembelih untuk dijadikan lauk," katanya.
Katanya oleh kerana bekalan makanan terputus kerana kenderaan penyelamat tidak boleh melalui untuk beberapa hari, pihaknya mengambil keputusan masak gulai kambing yang dimakan beramai-ramai dan ada juga penduduk kampung berkenaan menangkap beberapa ekor ayam yang berada atas pokok untuk dijadikan lauk.
Sementara itu, Pengurus Besar RKT Felda berkenaan, Jamil Abbas berkata saat mencemaskan apabila pihaknya perlu memikirkan cara untuk memberi makan 511 mangsa banjir termasuk yang ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) di rancangan itu dan di bangunan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda tidak jauh dengan dewan sivik berkenaan apabila hanya tinggal 24 kampit beras.
Jamil berkata, ketika itu beliau meminta apa saja bahan makanan yang ada ditanam peneroka seperti pisang muda, ubi, betik, nangka untuk dimasak.
"Bahan makanan inilah yang ada, dimasak dengan nasi sekadar yang boleh mengalas perut untuk setiap mangsa banjir di situ," katanya.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, katanya, semua peneroka merasa lega apabila bantuan tiba dengan helikopter selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meninjau mangsa banjir di Felda itu yang terputus hubungan dengan dunia luar.
Katanya, bantuan tiba pada 5 Dis sebelum disusuli bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah Kemaman.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan