17 January 2014

6,000 tiket 'tahun lalu' sah

15 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Kuantan: Kira-kira 6,000 tiket yang dibeli peminat bola sepak Pahang tertera cetakan perlawanan pada tarikh 17 Januari 2013, tetapi aksi sebenar sumbangsih – Piala Sultan Ahmad Shah berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam ini. 

Apa pun pemilik tiket terbabit tidak perlu bimbang kerana mereka masih boleh memasuki stadium, malam ini untuk menyaksikan perlawanan antara juara Piala Malaysia, Pahang dan juara Liga Super, Lions XII. 


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fuzzeimi Ibrahim berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada penjaga tiket bahawa tiket berkenaan adalah tulen. 


Silap cetak 

Katanya, kesilapan cetakan tarikh itu diakui Bahagian Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut menghantar pegawai mereka untuk memastikan pemegang tiket boleh menyaksikan perlawanan itu. 

“Saya minta peminat yang memiliki tiket terbabit tidak bimbang kerana kita sudah maklumkan kesilapan itu kepada penjaga tiket yang bertugas pada malam esok (ini). 

“FAM sendiri mengakui kesilapan teknikal itu dan tiket ini sah untuk perlawanan Pahang-Lions XII,” katanya di sini, semalam. 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memperkenankan penjualan pas bermusim untuk peminat skuad Tok Gajah. 

Katanya, pas bermusim itu boleh didapati pada harga RM1,000 untuk tempat duduk utama berbumbung (grandstand) membabitkan perlawanan anjuran PBNP untuk musim 2014. 

“Mereka yang berminat boleh datang ke pejabat PBNP dengan membawa dua keping gambar berukuran pasport dan kad pengenalan untuk mengisi borang. 

“Ia adalah kemudahan terbaik buat peminat yang menyokong Pahang selama ini dan tempat duduk mereka akan dijamin sepanjang musim ini tanpa perlu beratur mendapatkan tiket,” katanya.


- BH

No comments: