17 January 2014

Pengurus Besar, SU PKNS akan dipanggil - Khalid

15 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri akan memanggil Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Setiausahanya bagi memberi keterangan berhubung isu keahlian dan pengguguran seorang ahli lembaganya.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan ringkasnya berkata beliau dan barisan Exco terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini.

“Sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Exco, kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

“Oleh kerana perkara ini bukan isu terdesak yang melibatkan kepentingan orang ramai, Kerajaan Negeri meminta rakyat supaya bersabar dan tidak mempercayai sebarang spekulasi sehingga keputusan Exco dibuat,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, jawatan ahli lembaga pengarah berkenaan ditamatkan melalui surat bertarikh 8 Januari lalu, sebenarnya dibuat selaras dengan mesyuarat exco pada 13 November dan disahkan pada 4 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesyorkan supaya Menteri Besar melantik semula ahli lembaga itu yang digugurkan pada awal minggu lepas.

“Kita berpandangan bahawa kenyataan beliau itu mencerminkan sikap pemimpin yang berjiwa besar.

“Dengan mengambil kira kedudukan dan status beliau, Menteri Besar dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) merasakan perlu mempertimbangkan permintaan beliau sebelum membuat sebarang keputusan muktamad,” katanya lagi.

- Harakahdaily

No comments: