17 January 2014

Meniti usia 83 tahun Mursyidul Am

15 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
MINGGU lepas, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat genap 83 tahun. Beliau lahir pada tanggal 10 Januari 1931. Suatu usia yang membuktikan Tuan Guru (mesra dipanggil Tok Guru) seorang cukup berilmu dan berpengalaman.

Diyakini lebih sepertiga hayatnya dihabiskan untuk menimba ilmu di dalam  negeri (1937-1952) dan luar negeri (1952-1964). Bermakna dua pertiga lagi (1964 hingga sekarang), hidupnya dalam medan perjuangan Islam––politik dan dakwah.
Kira-kira 20 tahun lalu beliau diamanahkan Al-Mursyidul PAS, sehingga kini jawatan itu digalas sebagai tanggungjawab memakmurkan lambang perjuangan atas mandat ahli jemaah Islam. Sebelumnya, Tok Guru diberi kepercayaan sebagai Ketua Ulama PAS Pusat. Ketika itulah legitimasi gelaran ‘Tok Guru’ sudah lekat di bibir-bibir pendukung dan pemimpin, sehinggalah khalayak umum sedia menadah titipannya dari kitab-kitab ilmu tafsir, sirah dan hadis.


Kemudiannya rangkuman pengalaman selaku pemimpin di hati rakyat, iaitu bermula 1967 parti Islam––PAS memilih Tok Guru sebagai wakil rakyat. Dalam perjalanan sebagai wakil rakyat yang bermula sebagai Ahli Parlimen, sehinggalah dipilih pula sebagai Ahli Dewan Negeri tahun 1986 bagi Dun Semut Api. Dari situlah beraksinya Tok Guru sebagai ahli demokrat jurus oposisi apabila diputuskan sebagai ketua pembangkang dalam memantau perjalanan urus tadbir kerajaan Barisan Nasional di Kelantan. Berbekal pengalaman itulah, Tok Guru sudah tidak kekok dalam hal ehwal pentadbiran negeri.

Justeru atas kapasiti itulah, beliau menerima kepercayaan jemaah sebagai Menteri Besar Kelantan berikutan kemenangan besar (baca: mutlak) PAS bersama Angkatan pada pilihan raya umum 21 Oktober 1990. Seketika dipersoalkan kenapa Tok Guru dipilih (antara frasanya yang dapat penulis ingat), Almarhum Ustaz Dato’ Haji Fadzil Noor (ketika berceramah meraikan kemenangan PAS di Kelantan) mengungkapkan kata-kata legitimasi terhadap kepimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz, ”Kita PAS telah memilih Ketua Ulama PAS Pusat sebagai Menteri Besar sebagai tanda kesungguhan atas harapan bagi melaksanakan Kepimpinan Ulama di Kelantan.”

Berkat legitimasi jemaah dan kehebatan kepimpinannya yang bersemi nilai-nilai karismatik dan selama 23 tahun memikul beban menteri besar, natijahnya Tok Guru berjaya mencipta nama Kelantan bersama-sama arus perdana. Kelantan diurus tadbir berpaksikan dasar Membangun Bersama Islam sedia ‘menerajui perubahan’ berserta kecekalan menempa cabaran di bawah payung amalan persekutuan (federalisme) ala Malaysia.

Meskipun Tok Guru alami sendiri pahit maun tindakan diskriminatif kerajaan Pusat yang mencetuskan ombak dan gelombang di sepanjang perjalanan, berkat kesabaran dan karismatiknya kerana sentiasataqarub ilalLah, maka pelbagai isu yang mengancam dapat dilentur. Ia adalah karamah dari ulama yang dekat di hatinya ialah Allah yang Esa dan jilah hatinya bersama-sama nilai-nilai beragama rakyat Kelantan.

Sehubungannya, Kelantan telah dirasmikan sebagai negeri yang bebas rasuah, penuh berintegriti dan sentiasa memugar urus tadbir baik atas prinsip Ubudiyah, Mas’uliyah dan Iitqan. Suatu prinsip yang mengukuhkan keyakinan akidah, kebertanggungjawaban dan kecemerlangan menepati nilai-nilai integriti. Ia cukup bernas untuk diwarisi.

Maka kini, pewarisnya dan penggantinya Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob adalah muridnya. Sebagaimana respons Tok Guru apabila diminta mengulas hal kepimpinan Menteri Besar penggantinya itu (sempena keraian genap 83 tahun ), “Beliau macam anak murid saya, semasa saya ada, banyak tugasan yang saya serah kepada beliau, termasuk menjawab soalan-soalan dalam Dewan, dan dalam pentadbiran dia cukup faham.”

Ini suatu legitimasi seorang guru kepada anak muridnya. Seharusnya layak disebutkan, Tok Guru kini telah berjaya memperturunkan ilmu dan pengalamannya kepada satu saf kepimpinan pelapis negeri Kelantan yang sedang diurus ketuakan oleh Ustaz Ahmad.

Justeru penulis suka memperturunkan catatan ini, sebagaimana hal kepimpinannya dibicarakan dalam satu majlis  anjuran NGO Pendidik bertempat di UNISEL pada Jun 2012. Dalam majlis itu, Tok Guru telah dinobatkan sebagai “Tokoh Pendidik Islam Nusantara” dan pihak penganjur telah menobatkan julangan Tok Guru sebagai seorang yang benar-benar layak. Justeru penulis memperturunkan kembali di sini.

Menurut Pendidik, prinsip perjuangan Tok Guru ialah prinsip martabat khair al-ummah yang menyaksikan beliau meletakkan tugas kepimpinannya bersumberkan al-Quran dan al-hadis  sebagai sumber perjuangan dan perundangannya, mengadaptasikan pandangan Muhammad al-Ghazali bahawa al-Quran merupakan sebaik-baik mukjizat untuk pembinaan generasi dan tarbiah ummah;

Pertama, kerana Tok Guru mendidik manusia membina cendekiawan. Tok Guru begitu masyhur sebagai pendidik yang mendukung ilmu tasawuf. Karya Imam al-Ghazali yang menjadi rujukan adalah hidangan yang digemari anak muridnya sepanjang masa. Pemikiran Tok Guru telah ditulis untuk dirujuk oleh generasi berilmu sehingga tersebar ke seluruh Nusantara. 

Antara buku terbaru yang memuatkan pemikirannya ialah “Perspektif Tok Guru” (2011), “Bertemu Janji Allah” (2012) dan “Mauizhah” (2012). Ceramah dan ulasan beliau telah laris di pasaran sebagai pendidik jiwa masyarakat umum. Baginya, mendidik adalah “makanan dan minumannya” dan tetap istiqamah walaupun sudah bergelar Menteri Besar Kelantan sejak tahun 1990. Malah Tok Guru merupakan penggalak pendidikan Islam di Kelantan era milenium sehingga sistem pendidikan Yayasan Islam Kelantan telah diterima pakai di Singapura, Kemboja, Thailand, Brunei, bahkan turut popular di Indonesia.

Keduanya, Tok Guru mendidik masyarakat berpagarkan syariah. Dasar Membangun Bersama Islam telah digagaskan oleh Tok Guru bagi membuktikan syariat Islam akan terus subur dalam kerajaan dan masyarakat. Misi dilaksanakan dalam pentadbiran negeri dengan mendidik rakyat agar patuh kepada syariah. Bermula dengan membebaskan wang kerajaan daripada riba, pengharaman judi, penyusunan jualan arak, peraturan menutup aurat sehinggalah merasmikan prinsip Ubudiah, Mas’uliyah dan Itqan.

Kemuncaknya pula memperkenalkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah. Tok Guru juga mendidik rakyat agar sentiasa bersyukur menerusi program bina insan dan melebarkan kebajikan rakyat di samping mengamalkan hidup yang sederhana. Ketiga pula, Tok Guru mendidik masyarakat dengan asas ekonomi Islam.

Tok Guru berupaya mendidik masyarakat untuk hidup saling membantu menerusi Tabung Serambi Mekah, diikuti Tabung Amanah Tok Kenali, Skim Kifalah dan Bantuan Jaya Diri untuk Armalah sebagai satu saluran membantu rakyat agar diberi peluang membangun ekonomi diri sekali gus meringankan beban kerajaan Negeri.

Tok Guru mendidik golongan kaya agar mengorbankan harta untuk kepentingan awam, menggalakkan pelaburan akhirat dalam membangun negeri seperti sumbangan wakaf untuk membangun Lebuh Raya Rakyat. Tok Guru juga telah melancarkan dinar emas dan dirham perak sebagai langkah mendidik rakyat kembali ke sistem kewangan Islam di zaman Rasulullah SAW.

Seterusnya, keempat Tok Guru mendidik ke arah menyubur akhlak sosial. Tok Guru juga mendidik hidup harmoni dan bersatu padu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Seluruh rakyat diseru hidup beragama dan berbudaya mengikut pegangan masing-masing sebagai membina hubungan baik dan mengukuhkan ikatan antara manusia. Secara langsung, situasi tersebut telah menyuburkan keunikan cara hidup berteraskan hak dan keadilan menurut neraca Islam sehingga negeri Kelantan menjadi hub pendidikan Islam yang subur.

Akhirnya, kelima Tok Guru mendidik ke peringkat antarabangsa. Tok Guru Nik Abdul Aziz telah dikenali di segenap penjuru dunia. Ramai wakil kedutaan asing dan rombongan luar Negara tidak putus-putus datang bertemu dan berbincang secara baik. Malah kaedah al-mujadalah hiya ahsan dilaksanakan bagi mendidik masyarakat luar tentang keindahan Islam. Munasabahnya, Tok Guru adalah salah seorang dalam 50 tokoh Muslim yang berpengaruh di dunia sebagaimana direkodkan (tahun 2010) dalam buku “The 500 most influential Muslims.”

Bersempena dengan itu dan seusia Tok Guru yang amat emas ini, didoakan agar Tok Guru terus segar dan tuntas dengan rahmat Allah SWT, meskipun kesihatannya sering mengusik hidupnya.
________________
Penulis ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

No comments: