11 Januari 2014

Bekas ketua Parti Demokrat pimpinan Yudhoyono ditahan akibat rasuah

9 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
JAKARTA: Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menerima satu lagi tamparan apabila bekas Ketua Umum Parti Demokrat Anas Urbaningrum(gambar) ditahan Suruhanjaya Pembenterasan Rasuah (KPK) pada Jumaat kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah berprofil tinggi berkaitan projek pembinaan Kompleks Sukan Bukit Hambalang, Bogor di Jawa Barat beberapa tahun lepas.

               
Anas ditahan badan pencegahan rasuah selepas disoal siasat kira-kira lima jam di bangunan KPK di sini, dan ketika muncul dari premis berkenaan pada 6.45 petang untuk dibawa ke penjara, beliau menyifatkan peristiwa itu sebagai hari bersejarah kepadanya dan bahagian terpenting untuk beliau menemukan keadilan dan kebenaran.

               
"Saya berterima kasih yang besar kepada Pak SBY (Susilo Bambang Yudhoyono), mudah-mudahan peristiwa ini punyai erti, punya makna dan menjadi hadiah Tahun Baharu 2014. Yang lain-lain, nanti saja.
               
"Yang saya yakin adalah bahawa ketika kita berjuang tentang kebenaran dan keadilan, saya yakin betul hujungnya kebenaran akan menang," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada wartawan.
               
Beberapa penganalisis politik, dalam reaksi segera, menganggap ucapan terima kasih kepada Yudhoyono merupakan sindiran dan Anas akan membongkar lebih banyak maklumat berhubung kes itu, termasuk kemungkinan mengheret nama anak lelaki SBY iaitu Edhie Baskoro Yudhoyono atau Ibas, yang ketika ini menyandang jawatan Setiausaha Agung Parti Demokrat, dalam kes sama.

Polemik pemanggilan Anas oleh KPK untuk memberi keterangan, yang berlangsung sejak beberapa hari lepas, dianggap beberapa pihak sebagai memberi pengaruh negatif kepada Parti Demokrat yang diasaskan Yudhoyono.
               
Yudhoyono mengambil alih kepimpinan parti sebagai Ketua Umum berikutan pengunduran Anas daripada jawatan itu pada tahun lepas apabila KPK menetapkan beliau sebagai seorang suspek dalam kes berkenaan.
               
Seorang lagi suspek, iaitu bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia Andi Mallarangeng telahpun ditahan KPK pada tahun lepas dan penahanan Anas hari ini serta perkembangan seterusnya dijangka menarik perhatian ramai kerana beliau sendiri pernah menyebut akan mendedahkan banyak perkara berhubung kes itu.
               
Pada Februari 2013, Anas, dalam ucapan pengunduran, berkata penetapan dirinya sebagai suspek kes rasuah pembinaan Kompleks Sukan Bukit Hambalang itu merupakan 'halaman pertama' dan "masih banyak hal lainnya yang kita buka bersama untuk kebaikan bersama.  Saya yakin halaman berikutnya akan bermakna bagi kepentingan kita bersama".
               
Yudhoyono, melalui jurucakap presiden Julian Aldrin Pasha, pada Jumaat meminta semua pihak agar tidak mengaitkan proses undang-undang yang sedang dihadapi Anas dengan politik.
               
Julian berkata Yudhoyono tetap memantau perkembangan proses undang-undang itu namun beliau tidak akan campur tangan kerana yakin dengan kemampuan pihak penguatkuasa undang-undang menyelesaikan kes berkenaan.
               
Beliau turut mengingatkan bahawa semua warganegara memiliki kedudukan yang sama di mata undang-undang, tidak terkecuali bekas Ketua Umum Parti Demokrat.

 - Bernama

Tiada ulasan: