11 January 2014

Kubur anak digali, bapa buat laporan polis

9 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA TERENGGANU:  Kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungawab menggali kubur anak perempuannya yang meninggal dunia kira-kira lapan bulan lepas, seorang lelaki hari ini membuat laporan polis.

               
Terdapat lubang sedalam kira-kira satu meter di kubur anaknya itu yang meninggal dunia ketika berusia sembilan bulan. 


"Saya percaya ini dilakukan oleh pihak tertentu yang mempercayai amalan khurafat...kerana tiada longgokan tanah yang digali itu di kawasan kubur berkenaan," kata Kamaruddin Muhammad, 44, ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan Kampung Binjai Berambu, Padang Midin di sini sini hari ini.               
Katanya dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) selepas mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan itu kira-kira pukul 9 pagi ini.
               
Susulan itu, katanya dia membuat dua laporan polis iaitu di Balai Polis Chabang Tiga dekat sini dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ekoran laporan polis itu, sepasukan anggota Balai Polis Chabang Tiga dan dua anggota Unit Cawangan Jenayah, IPK Terengganu turun padang bagi menjalankan siasatan di tanah perkuburan itu petang ini.
               
Kamaruddin berkata dia dengan kerjasama penduduk setempat telah menutup lubang di kubur anak perempuannya itu dengan tanah.
               
Katanya dia juga telah berbincang dengan JKKK untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tanah perkuburan yang berusia hampir 100 tahun itu tidak lagi dicerobohi termasuk mengadakan pemantauan dan membina pagar di kawasan sekitar.
               
Katanya arwah anaknya Siti Nur Anisah merupakan anak bongsu dari enam beradik meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung dan masalah jangkitan paru-paru.
               
"Saya tidak faham dan tidak tahu apa tujuan sebenar mereka menggali kawasan kubur anak saya itu. Saya kesal dengan perbuatan tidak bermoral itu, di zaman serba moden ini masih ada pihak mengamalkan amalan khurafat," katanya.

 - Bernama

No comments: