01 Januari 2014

Hanya budaya tidak bercanggah syariat dibenarkan

28 Safar 1435H. [MOD] -

KOTA BHARU: Biar pelbagai usaha dilakukan bagi menarik pelancong ke Kelantan, namun budaya yang dipertonton dipastikan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Begitu juga persembahan kebudayaan atau permainan tradisional yang tidak berpijak di bumi nyata seperti wayang kulit dan permainan melibatkan unsur pemujaan tidak dibenarkan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri telah menetapkan garis panduan sama ada sesuatu persembahan kebudayaan itu boleh diadakan atau sebaliknya.

“Mana-mana kebudayaan yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam dibenarkan, manakala kebudayaan yang bercanggah namun kalau boleh diubah dengan menerap unsur kebaikan dan kesedaran ia diterima.

“Misalnya wayang kulit ada versi baru yang disembahkan. Kalau boleh ubah kita boleh terima. Kita mahu rakyat selamat dunia dan akhirat,” katanya kepada pemberita pada acara sambutan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di sini hari ini.

Program tersebut diadakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Program serupa turut diadakan di Rantau Panjang dan pintu sempadan lain.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengubal Enakmen Kawalan Hiburan 1998 bagi memperincikan garis panduan persembahan kebudayaan dan hiburan di negeri ini.

Menteri Besar bagaimanapun berkata, persembahan menora yang menjadi tradisi masyarakat Siam dibenarkan di kawasan wat mereka.

“Kita tidak halang persembahan tersebut diadakan di kawasan wat Siam,” ujarnya.

Menurutnya juga persembahan pentas bagi wanita hanya dibenarkan bagi mereka yang berusia bawah 12 tahun sahaja.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri sentiasa mengawal tidak berlaku pergaulan bebas di tempat-tempat program yang diadakan.

Program tersebut dianjurkan Tourism Malaysia dengan kerjasama Pusat Pelancongan Negeri Kelantan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Hassan Mohamood dan pegawai Tourism Malaysia.
Harakahdaily/-

Tiada ulasan: