10 Januari 2014

Hong Leong nafi tidak benar pekerja Islam bersolat

8 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Berhad semalam menafikan dakwaan ia tidak membenarkan sesetengah anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) beragama Islam menunaikan solat di surau cawangannya di Kelantan dan Kuantan.

    
Dalam kenyataan akhbarnya, bank itu secara tegas berkata ia sentiasa menghormati semua amalan agama dan menyokong kebebasan beragama.
    
"Anggota NUBE berkenaan bukan staf cawangan tertentu itu dan oleh demikian mereka tidak boleh memasuki kawasan keselamatan di mana terletaknya surau dan bilik kebal utama.
    
"Ini adalah dasar keselamatan standard mana-mana institusi kewangan di mana tiada siapa, kecuali staf cawangan berkenaan, dibenarkan memasuki kawasan keselamatan," kata kenyataan itu.
    
Bank itu menegaskan bahawa semua pekerja beragama Islam dibenarkan menunaikan solat, tanpa sebarang prejudis atau gangguan.

 - Bernama

Tiada ulasan: