19 Januari 2014

Orang tengah: Ku Nan cuba alih isu harga barang naik

17 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dibuat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang menyelar 'orang tengah' yang kononnya cuba menimbulkan kebencian terhadap kerajaan BN adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan amat dikesali.


Ini, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil lebih-lebih lagi apabila menteri membuat andaian bahawa pihak yang menaikkan harga adalah terdiri daripada penyokong Pakatan Rakyat.
Katanya, kenyataan menteri ini adalah cubaan untuk mengalih pandangan umum daripada isu sebenar, bahawa kenaikan harga barang timbul daripada kegagalan dasar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk menangani kenaikan inflasi yang mendadak. 

Beliau berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan rakyat dalam kenyataannya tempoh hari bahawa kadar inflasi di Malaysia telah meningkat dari 1.2% pada Disember 2012 ke 2.9% pada November 2013, iaitu peningkatan 2.4 kali ganda.

Baginya, Ku Nan dan kerajaan Umno BN perlu menghentikan retorik yang tidak berasas seperti itu dan sebaliknya berusaha untuk mengetengahkan idea-idea dan dasar-dasar yang dapat menangani isu inflasi dengan efektif. 

Tambahnya, harga petrol patut diturunkan, monopoli gula yang dipegang Syed Mokhtar perlu dipecahkan, dan pelbagai kenaikan yang dicadangkan seperti kadar tol, tarif elektrik, dan cukai GST wajib ditarikbalik. 

“Sekurang-kurangnya kerajaan Umno BN wajib menangani ketirisan dan rasuah yang mengakibatkan berbilion ringgit wang Rakyat lesap begitu sahaja, seperti yang dilaporkan saban tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Harakahdaily

Tiada ulasan: