19 January 2014

Taman Negara Teluk Bahang Ditutup Sementara

17 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
GEORGE TOWN: Taman Negara Teluk Bahang ditutup sementara kepada pengunjung mulai Ahad bagi memberi laluan kepada operasi mencari dan menyelamat dua lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut ombak kuat di Pantai Kerachut, Teluk Bahang dekat sini Sabtu.


Pegawai Penguasa Taman Negara Saat Yaakob berkata pintu masuk kedua menuju ke taman itu dari Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau turut ditutup sepenuhnya kepada orang awam.

"Sebarang kesulitan amat dikesali dan tarikh dan waktu taman ini beroperasi semula akan dimaklumkan kemudian selepas operasi mencari dan menyelamat tamat," katanya kepada Bernama Ahad.
Katanya pengunjung boleh mendapatkan maklumat semasa di pusat informasi di luar Taman Negara Teluk Bahang yang dibuka kepada orang awam dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Dalam perkembangan sama, Saat berkata pengurusan taman negara turut membantu pasukan menyelamat dalam operasi mencari dua mangsa berkenaan menggunakan sebuah bot pada pukul 7.30 pagi ini.
Terdahulu operasi mencari dan menyelamat diperluaskan sehingga ke kawasan perairan Balik Pulau dan Gunung Jerai dengan bantuan helikopter.
Operasi itu melibatkan lebih 40 anggota terdiri daripada pasukan Polis Marin Wilayah Utara, Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Pada kejadian pukul 4.17 petang Sabtu, seorang wanita dikenali sebagai P.Yogambigai, 24, meninggal dunia manakala Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, dan Ashwanpaljit Singh Charnjit Singh, 22, dikhuatiri lemas selepas mandi di pantai berkenaan.
Mereka adalah antara 24 pekerja sebuah syarikat di Prai, dekat sini yang menyertai kem bina diri di Taman Negara Teluk Bahang. 
BERNAMA

No comments: