15 Januari 2014

Rakyat Malaysia Menang Kes Larangan Masuki AS

13 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
SAN FRANCISCO: Hakim Amerika Syarikat (AS) menyebelahi seorang rakyat Malaysia yang mencabar dasar larangan memasuki AS oleh kerajaan negara itu.

Hakim turut memutuskan bahawa prosedur sedia ada untuk membetulkan kesilapan pada senarai tersebut tidak mencukupi.
Hakim Daerah San Francisco, Willian Alsup membuat keputusan itu ke atas saman yang dikemukakan oleh Profesor Rahinah Ibrahim, yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti awam di Malaysia.
Polisi larangan masuk ke AS menetapkan mana-mana individu yang dipercayai ada kaitan dengan pengganas disekat daripada menggunakan kapal terbang komersial memasuki negara itu.
Namun, pengkritik berkata, adalah mustahil untuk mengeluarkan nama individu daripada senarai tersebut.
Kes Rahinah dipercayai merupakan cubaan pertama seorang individu mencabar keputusan kerajaan AS yang dibicarakan.
Perbicaraan kes tersebut dilakukan pada bulan lalu.
Peguam, Elizabeth Pipkin yang mewakili Rahinah berkata, "Keadilan terlaksana akhirnya kepada anak guam kami, wanita tidak bersalah yang dimasukkan dalam senarai sistem pencegahan yang tidak betul."
Pada 2005, Rahinah ditahan selama dua jam di lapangan terbang San Francisco kerana pihak berkuasa percaya namanya dalam senarai larangan masuk ke negara itu.
Beliau dibenarkan pulang ke Malaysia tetapi visa ke AS dibatalkan dibawah peruntukan undang-undang berkaitan individu disyaki pengganas, walaupun dia tidak dimaklumkan sebab sebenar mengenai tindakan tersebut.
Rahinah tidak dibenarkan untuk kembali ke AS.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen terhadap pihak berkuasa AS untuk membersihkan namanya tetapi menerima surat yang tidak menyatakan sama ada namanya masih dalam senarai tersebut.
Beliau memfailkan tuntutan mahkamah, mendakwa larangan yang dikenakan terhadapnya untuk memasuki AS telah menjejaskan namanya.
Pada Selasa, Alsup berkata kerajaan memutuskan Rahinah bukan satu ancaman kepada keselamatan negara itu.
Dia berhak untuk dimaklumkan sama ada dia masih dalam senarai larangan tersebut.
Alsup berkata, sebarang kesilapan maklumat mengenai Rahinah harus diperbetulkan.
Hakim turut mengarahkan pihak berkuasa untuk mendedahkan lebih banyak maklumat kepada Rahinah berkaitan sekatan permohonan visanya.
mStar

Tiada ulasan: