15 Januari 2014

Tuan Guru Nik Aziz ceria dikunjungi MB, Exco

13 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menerima kunjungan daripada Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob sempena jamuan yang diadakan di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru Dato Bentara Setia di sini.

Ustaz Ahmad tiba di pejabat baru Tuan Guru itu kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Selain menikmati jamuan dengan menu Nasi Dagang dan Nasi Manis, Ustaz Ahmad turut meluangkan masa mengadakan perbincangan ringkas dengan Tuan Guru yang juga bekas Menteri Besar Kelantanitu.

Kedua-dua mereka dilihat mesra berbual-bual isu semasa dan isu-isu berkaitan negeri.

Selain menteri besar, turut hadir sebelum itu exco-exco kerajaan negeri, Adun-adun yang lain serta wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Penubuhan Institut Pemikiran Tok Guru merupakan cetusan idea Ustaz Ahmad sendiri sebagai inisiatif kerajaan negeri untuk terus memperkasakan institusi ulamak di negeri itu.

Selain sebagai pengiktirafan kepada jasa Tuan Guru Nik Aziz, penubuhan itu juga menjadi pusat penyelidikan (R&D) bagi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Ustaz Ahmad ketika awal dilantik Menteri Besar berkata, biarpun Tuan Guru tidak lagi menjadi menteri besar, namun beliau akan sentiasa dirujuk oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan nasihat dan pandangannya.

Tiada ulasan: