03 Januari 2014

Sejarah kelahiran Rasulullah bukan sekadar untuk disanjung

1 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
AHMAD BAEI JAAFAR
Sejarah keputeraan Muhammad bin Abdullah Rasulullah SAW sudah banyak ditulis orang, malah terus dihurai oleh pelbagai golongan masyarakat mengikut bidang masing-masing. Meskipun sejarah itu dipertontonkan dengan jelas dalam pelbagai medium, namun umat Islam belum dapat mengambil sejarah itu sebagai titik tolak untuk memperjuangkan Islam.

Kita tahu bahawa Nabi Muhammad SAW pemimpin yang mampu menyatukan pelbagai kabilah di Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam Madinah. Kita kagum dengan kehebatan Baginda tetapi kita tidak mampu menyatukan sesama umat Islam, apatah lagi menyatukan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dalam rukun damai.

Kita tahu juga bahawa Muhammad SAW dilahirkan sebagai anak yatim piatu sejak kecil dan kehidupannya dijaga oleh datuknya, Abdul Muttalib bin Hasyim dan seterusnya bapa saudara baginda, Abu Talib bin Abdul Muttalib. Tetapi kita yang dapat hidup dalam keadaan senang lenang bersama keluarga, mengapa kita belum boleh menjadi sehebat ketokohan Baginda?

Kita tahu juga baginda pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan saudagar untuk tuannya Khadijah binti Khuwailid. Kita tahu juga dengan kejujuran dan kepandaian baginda mengurus amanah dengan baik, akhirnya tuannya meminang baginda sebagai suaminya. Tetapi bagaimana dengan tugasan kita, sudahkan kita melaksanakan amanah dengan sempurna sehingga majikan kita boleh berpuas hati?

Sejarah bukan untuk dikagumi

Memang sejarah itu penting, apatah lagi sejarah Rasulullah SAW, tetapi sejarah yang kita baca bukan sekadar untuk menambahkan pengetahuan. Sejarah yang kita kaji bukan sekadar untuk dikagumi. Sejarah yang kita fahami bukan sekadar untuk kita ceritakan semula kepada orang lain. Namun apa yang menyedihkan kita pada hari ini sejarah tidak diminati pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Bayangkan kalau pelajar sekolah tidak memahami sejarah bukan sahaja dia tidak boleh menceritakan semua itu kepada orang lain, dia sendiripun tidak tahu sejarah. Bayangkan kalau penuntut universiti sendiri tidak berminat untuk mengkaji sejarah, bukan saja dia tidak boleh menggagumi sejarah itu, dia sendiri pun tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Apabila kita bertanyakan tentang kelahiran Rasulullah, mereka tidak mampu menjawab dengan berani. Apabila kita bertanyakan tentang sifat-sifat Rasulullah, mereka serba salah untuk menjawab kerana takut salah dan memalukan. Malah apabila kita tanyakan tentang kehidupan Rasulullah, mereka tidak dapat menjawabnya dengan tepat.

Kalau begitulah sikap dan ilmu pengetahuan umat Islam, munasabahlah umat Islam pada hari ini tidak berasa bangga menjadi umat Islam, tidak bangga menjadi umat Muhammad. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh mencontohi kehebatan dan kebaikan Rasulullah. Padahal, yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah untuk dicontohi dan diikuti sepanjang hayat.

Jejak sejarah untuk dicontohi

Berdasarkan sejarah, ketika Nabi Muhammad berumur 40 tahun, baginda telah menerima wahyu yang pertama daripada Tuhan melalui malaikat Jibril ketika sedang berada di Gua Hira. Tiga tahun setelah baginda berdakwah secara rahsia, baginda bangun berdakwah secara terbuka kepada penduduk Makkah dengan berani mengatakan "Tuhan itu Esa".

Dengan dakwah itu baginda ditentang oleh penduduk Makkah malahan mereka dilayan dengan teruk dan zalim. Tentangan hebat datangnya daripada keluarganya sendiri khususnya yang mempunyai kepentingan di Makkah. Pelbagai usaha dilakukan oleh baginda bagi mengatasi tentangan tersebut.

Berdasarkan sejarah itu sepatutnya kita mengambil pengalaman baginda dalam gerakan dakwah. Antara yang boleh diikuti ialah:

1.Waktu bertenang adalah dalam tempoh tiga tahun bagi tujuan mengumpul kekuatan. Rasulullah setelah mendapat wahyu tentu belum ada kekuatan dan pengalaman. Dengan sebab itu baginda menjalankan dakwah secara senyap-senyap kepada rakan terdekat. Oleh sebab itu pendakwah masa kini, setelah memperoleh ilmu dakwah harus bergerak secara teratur dari bawah di samping mencari pengalaman yang bersesuaian dengannya.

2.Setelah sudah ada kekuatan iaitu ilmu dan pengalaman, kewangan, kederaan, sokongan bolehlah bergerak dengan lebih berani. Boleh menggunakan pentas awam termasuk media. Rasulullah mengumpulkan masyarakat Makkah di suatu daerah di lembah bukit. Di sini baginda berdakwah. Ketika itu baginda tidak takut lagi dengan tentang orang Quraisy. Begitulah seharusnya kita contohi, namun pengalaman kita pada hari ini, kita belum ditentang sebegitu oleh masyarakat kita. Jadi, mengapa kita tidak mahu berdakwah?

3.Perdakwah perlu bijak mengatur strategi yang pelbagai untuk mengatasi halangan yang pelbagai. Banyak pelan yang perlu ada demi menjayakan gerak kerja dakwah.

Antara strategi yang difikirkan oleh Rasulullah ialah ialah hijrah. Pelan pertama hijrah ke Habsyah pada 614 Masihi untuk menyelamatkan iman sahabat yang dizalimi. Pelan kedua hijrah ke Madinah setelah kekuatan asas sudah dibina di Madinah. Hijrah kedua ini adalah untuk kembangkan dakwah secara lebih besar.

Setelah berada di Madinah dan menguasai kotanya, Nabi Muhammad telah menyatukan semua suku kaum di bawah Piagam Madinah. Setelah bersengketa dengan penduduk Makkah selama 8 tahun, baginda membawa 10,000 pengikutnya ke Makkah serta menakluknya. Muhammad dan para pengikutnya telah memusnahkan patung berhala yang terdapat di Makkah.

Ya, kita yang sudah berdakwah sekian lama, apakah kekuatan yang sudah dibina? Apakah strategi yang telah diatur? Apakah penyatuan yang telah kita usahakan? Ampun maaf, sehingga setakat ini belum ada NGO gerakan dakwah yang bergerak secara tersusun. Memang kita ada ABIM, JIM, Haluan, ISMA dan beberapa lagi kumpulan yang tumbuh kemudiannya. Tetapi mereka bergerak sendirian dengan pegangan yang tersendiri. Antara mereka tidak ada titik pertemuan. Mengapa mereka tidak boleh bersatu mengatur strategi dakwah yang lebih berkesan?

Di sinilah kelemahan pejuang Islam yang mereka mengakui mewarisi perjuangan Rasulullah. Mereka kononnya faham perjuangan baginda tetapi langsung tidak mengambil pendekatan yang sempurna dan strategik berdasarkan sejarah Rasulullah. Kita berhadapan dengan musuh yang pelbagai, tetapi kita tidak menggunakan strategi yang betul. Tetapi kalau kita gemblingkan idea dan fikiran tentu, satu persatu musuh akan tumbang sekali gus menerima Islam dengan baik.

Saya percaya, dunia dakwah kita masih luas dan peluang kita memartabatkan Islam masih luas. Kita tidak lokek dengan idea maka gunakan semua itu dengan sebaiknya. Marilah kita satukan NGO Islam dalam fikrah yang satu. Boleh bergerak secara berasingan tetapi bertitik tolok daripada strategi yang telah dibincangkan bersama. Insya-Allah kita akan berjaya.


http://baei.blogspot.com/

Tiada ulasan: