03 January 2014

Pemuda PAS sokong Protes Pensil Merah

1 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyatakan sokongan terhadap usaha Gerakan Media Marah (Geramm) untuk mengadakan himpunan yang dinamakan Protes Pensel Merah (Red Pencil Protest) pada hari Sabtu, 4 Januari ini.

Menyifatkan himpunan tersebut dibuat atas yang kukuh, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Suhaizan Kaiat berkata, Geramm berhak menyatakan sikap mereka apatah lagi ia berhubung kait dengan hak dan kebebasan rakyat.

"DPPM menyokong apa juga langkah membela masyarakat atau golongan yang tertindas, dizalimi serta menghambat mereka yang zalim dan bertindak keterlaluan. 

"Dalam hal ini, Geramm ada asas yang kukuh mengadakan demonstrasi tersebut dan mereka berhak menyatakan sikap mereka apatah lagi ia berhubung kait dengan hak dan kebebasan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Protes Pensel Merah Sabtu ini akan diadakan di hadapan bangunan Majlis Peguam, Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur bermula jam 2 petang.

Himpunan ini adalah untuk mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam negeri (KDN) agar segera mengembalikan hak penerbitan kepada akhbar mingguan The Heat yang digantung.

Geramm sebelum ini turut membidas alasan dangkal KDN kononnya penggantungan ini hanya bersifat sementara.

Bagi mereka, tindakan kerajaan itu telah menyekat kebebasan akhbar dan ia amat tidak demokratik.

Suhaizan berkata, hak penerbitan adalah hak asasi sebagaimana dijamin perlembagaan dan masyarakat bertamadun dan moden hari ini mengiktiraf kebebasan akhbar dalam ruang lingkup yang dibenarkan perlembagaan Malaysia, dan menolak kaedah rakus dan keterlaluan.

Menurut beliau lagi, KDN perlu memberi alasan kukuh atas sebab apa penerbitan The Heat digantung supaya rakyat boleh menilainya sama ada ia benar-benar melanggar etika pemberitaan serta berunsur fitnah.

Lebih dari itu katanya, KDN sepatutnya membawa The Heat ke mahkamah jika benar akhbar tersebut bersalah.

"Jika tiada alasan lain boleh diberikan selain alasan teknikal, kembalikan semula hak penerbitan kepada The Heat dan kementerian serta pemimpin negara perlu belajar menghormati hak yang diberikan kepada rakyat di negara ini.

"Menggantung akhbar berkenaan bukanlah kaedah demokrasi, malah ia mirip tindakan rejim diktator yang tersepit," tegasnya

No comments: