03 January 2014

Pelajar serang guru diburu

1 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
 Pelajar serang guru diburu
Kuala Perlis: Seorang pelajar Tingkatan Lima menjadi buruan polis, selepas mencederakan muka guru dengan kerambit, hanya kerana berang ditegur sebab hadir dengan gaya rambut punk pada hari pertama persekolahan, semalam. 

Kejadian bermula jam 7 pagi semalam, ketika guru berusia 50 tahun itu mengawasi kehadiran di pintu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis, sebelum menegur gaya rambut punk berwarna pelajar terbabit kerana menyalahi peraturan. 


Teguran itu membuatkan pelajar berusia 17 tahun terbabit berang sebelum beredar dari situ. Kira-kira 30 minit kemudian, dia kembali semula ke sekolah sambil ditemani ibunya dan bersemuka dengan guru berkenaan. 

Serang dengan kerambit 

Susulan pertengkaran yang tercetus ketika pertemuan itu, pelajar terbabit secara tiba-tiba mengeluarkan kerambit sebelum menyerang muka guru berkenaan. 

Serangan luar dugaan itu gagal dielak guru berkenaan, apabila hayunan kerambit pelajar terbabit mencederakan kening kanannya hingga menyebabkan pendarahan dan mangsa terjatuh di tempat kejadian. 
Ibu pelajar berkenaan yang tidak sempat menghalang serangan, turut memarahi anaknya kerana perbuatan ganas itu, sebelum bergegas meninggal lokasi kejadian. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, berkata pelajar terbabit turut melarikan diri dari sekolah. 

Beliau berkata, guru berkenaan kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis yang terletak berdekatan sekolah sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Perlis. 

“Polis sedang menjejaki pelajar terbabit untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata bahaya,” katanya.BH/-

No comments: