03 January 2014

‘Halal darah’: Harussani perlu tarik balik ‘fatwa’

1 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: PAS mendesak Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria untuk menarik balik fatwa yang menganggap peserta demonstrasi sebagai 'bughah' (penderhaka) dan halal darah mereka.

“Fatwa ini sangat bahaya kepada keselamatan negara dan jelas bertentangan dengan istilah Islam.

“Fatwa beginilah yang menyebabkan ribuan penunjuk perasaan ditembak di Mesir kerana ia adalah fatwa sesat yang jauh menyimpang dari landasan syarak,” ujar Ketua Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, istilah 'bughah' merujuk kepada pemberontakan bersenjata sebahagian rakyat bagi menumbangkan kerajaan Islam yang memerintah dengan penuh keadilan dan mengikut lunas syarak. 

Kerana itu, jelas beliau lagi ia termasuk dalam hukum hudud, bukan takzir.

“Apakah rakyat yang keluar membantah kenaikan harga barang dan kos hidup yang melampau, penentangan terhadap rasuah dan salah guna kuasa oleh pemerintah serta berleluasanya kemungkaran dalam negara adalah ‘bughah’, yang halal darah mereka?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya, sebarang fatwa yang ingin dikeluarkan oleh mana-mana mufti sepatutnya mendapat maklumat sebenar dengan membuat kajian, tinjauan dan memahami kes sebelum sesuatu fatwa dibuat.

Menurutnya, mufti tidak hanya boleh bergantung pada maklumat dari media perdana yang dikuasai oleh kerajaan untuk menyebarkan dakyah politik dan juga menyimpang daripada fakta.

“PAS menggesa kenyataan ini ditarik balik bagi mengelak pihak-pihak yang jahil dan pelampau agama untuk mengambil kesempatan untuk bertindak sewenang-wenangnya kerana terpengaruh dengan fatwa songsang tersebut,” tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

1 comment:

Anonymous said...

Harussani tak da umat pedulikan dia