03 Januari 2014

Syabu dalam pelapik kasut dan gulungan wayar

1 Rabiul Awal 1435. [MOD] -
Syabu dalam pelapik kasutChik Omar (dua dari kiri) menunjukkan 1 daripada 14 pasang kasut dirampas yang diisi dadah jenis syabu pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA.
Sepang: Dua wanita warga China ditahan kerana menyeludup masuk dadah secara berasingan melalui Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini, Isnin dan Selasa lalu.

Wanita berusia 19 tahun dan 29 tahun itu, masing-masing ditahan pada jam 2.15 pagi Isnin dan 1.30 pagi Selasa, bersama 6.1 kilogram dan tiga kilogram serbuk putih dipercayai syabu bernilai RM1.6 juta. 


Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk Chik Omar Chik Lim, berkata tangkapan pertama dilakukan ke atas wanita yang menaiki penerbangan dari Shenzhen, China. 

“Wanita itu ditahan selepas pemeriksaan menemui dadah yang disorok dalam 14 pasang pelapik kasut dalam bagasinya,” katanya pada sidang media, semalam.

Temui 2 gulungan wayar

Chik Omar berkata, rampasan kedua dilakukan selepas pihaknya memeriksa seorang wanita yang berada dalam keadaan mencurigakan sebaik tiba dengan penerbangan dari Hong Kong.


Pemeriksaan ke atas bagasi wanita itu menemui dua gulungan wayar yang didalamnya mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis syabu bernilai RM570,000,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati modus operandi sindiket dadah dari China kini menggunakan wanita muda dan cantik untuk menyeludup dadah.

Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan 67 cubaan menyeludup masuk dadah menerusi LCCT dan KLIA membabitkan 55 tangkapan dan merampas 809.9 kilogram bernilai RM47.6 juta, tahun lalu. BH/-

Tiada ulasan: