12 February 2014

Angin kencang, laut bergelora berterusan sehingga Sabtu

12 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah, Labuan dan Sarawak diramal berterusan sehingga Sabtu ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya hari ini berkata angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak setinggi 3.5 meter adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. Angin kencang timur laut kategori pertama yang melanda kawasan perairan Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef South, Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Ribut petir di kawasan perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Reef South, Reef North, Layang-Layang dan Sulu pula dijangka berterusan sehingga tengah hari ini. 

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil. 

- BERNAMA 

No comments: