12 Februari 2014

Aibnya Najib dakwa Malaysia 'demokrasi terbaik di dunia'

12 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sungguh mengaibkan! Dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia mempunyai ‘demokrasi terbaik di dunia’ tergugat apabila kedudukan kita dalam Indeks Kebebasan Media 2014 adalah paling corot dalam sejarah negara, malah lebih rendah daripada Myanmar, kata Lim Kit Siang.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan, pada tahun lalu Malaysia telah pun terjerumus ke kedudukan tercorot, iaitu di tangga ke-145 daripada 179 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media 2013 – pencapaian terburuk sejak indeks tahunan Reporters Without Borders (RSF) diperkenalkan pada tahun 2002.

Pada tahun itu, katanya Malaysia terjunam 23 anak tangga, memandangkan negara ini diletakkan di tangga ke 122 pada tahun 2011/2012 Indeks Kebebasan Media.

Menurutnya, dalam Indeks Kebebasan Media 2014 yang baru saja diterbitkan, Malaysia tersungkur lebih jauh ke bawah, iaitu di tangga ke-147 daripada 180 buah negara, iaitu dua anak tangga di belakang Myanmar yang kedudukannya meningkat ke tangga ke-145 setelah menduduki tangga ke-151 pada tahun lepas.

Tambahnya, negara-negara Asean yang pencapaiannya mengatasi Malaysia adalah Brunei (tangga ke-117), Thailand (130), Indonesia (132), Kemboja (144) dan Myanmar (145). Filipina menduduki tangga ke-149, Singapura di tangga ke-150, Laos 171 dan Vietnam 174.

Katanya lagi, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media 2014 mungkin di bawah Filipina dan Singapura jika diambil kira tindakan terbaru kerajaan menekan kebebasan media, iaitu pembatalan permit penerbitan FZ Daily, hanya beberapa jam selepas penerbit The Edge Communications Sdn. Bhd. diberikan izin oleh mahkamah untuk memulakan prosiding terhadap Kementerian Dalam Negeri yang menangguhkan pemberian permit kepada FZ Daily.

“Pada tahun 2006, kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media agak baik, iaitu di tangga ke-92,” ujarnya. 

Namun, di bawah kepimpinan Najib Malaysia terperangkap di tangga seperempat tercorot di kalangan 180 buah negara yang dinilai.

“Bolehkah kita mengharapkan penjelasan daripada Najib selepas mesyuarat Kabinet hari ini mengapa beliau memungkiri janji untuk menjadikan Maaysia sebagai ‘demokrasi terbaik di dunia’ apabila negara ini ditempatkan di tangga paling corot sejak 12 tahun lalu dalam Indeks Kebebasan Media sehingga diatasi oleh Myanmar yang dianggap sebagai negara demokrasi terburuk di kalangan negara-negara Asean?” tanya beliau.

Harakahdaily

Tiada ulasan: