12 Februari 2014

Anwar hadir perbicaraan kes rayuan liwat 2

12 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR:  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri perbicaraan rayuan kes liwat 2 di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya, hari ini.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Biro Komunikasi PKR, Anwar juga akan menghadiri perbicaraan yang sama esok.
Semalam, Anwar  gagal dalam rayuan terakhirnya untuk menggugurkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwaan terhadap pembebasan ketua pembangkang itu daripada pertuduhan liwat.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak permohonan kali kedua Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee.
Berikutan keputusan ini, Muhammad Shafee akan mengetuai pasukan pendakwaan  dalam rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Anwar yang dijadual didengar di Mahkamah Rayuan hari ini, lapor Bernama.
Permohonan kali pertama Anwar ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun lepas. Berikutan itu, Anwar membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan tetapi juga ditolak.
Dalam keputusannya, hakim Zulkefli berkata mahkamah tidak dapat menerima  kandungan akuan berkanun (SD) yang dibuat bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Muhammad Shafee kerana kenyataan itu dibuat di luar mahkamah.
Hakim Zulkefli berkata tanpa akuan berkanun oleh Mat Zain, dakwaan lain yang dibuat oleh Anwar jelas boleh dipertikaikan.
Beliau berkata oleh itu tidak ada asas yang munasabah untuk membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee.
Hakim-hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.
Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan kali keduanya pada 20 Dis tahun lepas. Mahkamah memutuskan bahawa pelantikan Muhammad Shafee adalah mengikut undang-undang.
Anwar mengemukakan rayuan kali kedua untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dengan mengguna pakai maklumat daripada akuan berkanun oleh Mat Zain untuk menyokong permohonannya.
Pada 9 Jan, 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Muhammad Shafee, peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara secara "fiat" (kebenaran) mengikut seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Perkara  145 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk mengetuai pendakwaan di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, peguam Tommy Thomas yang mewakili Anwar antara lain berhujah bahawa Muhammad Shafee sebagai seorang peguam mempunyai kewajipan untuk menolak pelantikannya sebagai ketua pendakwaan dalam rayuan itu kerana ia bercanggah dengan Kaedah-kaedah Profesion Guaman (Amalan dan Etiket) 1978.
Muhammad Shafee dalam hujah balasnya berkata pihak pembela seharusnya membuat aduan secara bertulis kepada Peguam Negara untuk mengkaji semula keputusan melantik beliau sebagai ketua pendakwaan.
 - Bernama

Tiada ulasan: