12 Februari 2014

Kempen Awal: Anwar tak langgar Akta P'raya - SPR

12 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim turun awal ke Kajang sebelum tempoh kempen bermula, tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya.

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, ini kerana secara teknikalnya Ketua Umum PKR itu belum sah sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.


Tambah beliau, sebelum hari penamaan calon, badan penggendali pilihan raya itu tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang berkempen sebelum tarikh ditetapkan kerana tiada undang-undang yang memberikan kuasa kepada mereka berbuat demikian.

"Sebelum penamaan calon, SPR tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan kepada Anwar," kata Abdul Aziz yang dihubungi The Malaysian Insider.

"Sekarang kuasa terletak kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," tambahnya.

Kelmarin, dilaporkan bahawa pihak polis telah membuka tiga kertas siasatan terhadap Ketua Pembangkang itu berhubung dakwaan berkempen sebelum hari penamaan calon bagi PRK Kajang yang dijadual 11 Mac depan.

Siasatan itu dibuat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak mengemukakan sebarang kenyataan bertulis 10 hari sebelum melakukan kempen.

Bagaimanapun, Anwar dalam satu kenyataan membidasnya dengan tidak akan melayan dakwaan tidak berasas itu bahawa beliau melanggar undang-undang dengan memancing undi terlalu awal.

Beliau turut mendakwa, BN juga sudah melancarkan kempen awal malah dengan agresif terhadap beliau melalui media kawalan mereka seperti TV3 dan Utusan Malaysia.

SPR menetapkan tarikh 23 Mac untuk hari pengundian PRK Kajang.

Harakahdaily

Tiada ulasan: