11 February 2014

Ahli PAS diseru solat hajat untuk pasangan di Sweden

11 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seluruh ahli dan penyokong PAS diseru agar mengadakan solat hajat untuk memudahkan urusan pasangan warga Malaysia, Azizul Raheem Awalluddin dan isterinya Shalwati Nor Shal yang akan dibicarakan bermula 18 Februari di samping diberikan kekuatan dan kesabaran kepada mereka.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika menghubungi Harakahdaily memberitahu selain dari solat hajat, PAS juga turut bersedia menyediakan khidmat guaman secara percuma tetapi bergantung kepada persetujuan pasangan tersebut.

Pasangan warga Malaysia didakwa di mahkamah daerah Solna, Stockholm, Sweden semalam atas pertuduhan memukul keempat-empat anak mereka antara tahun 2010 hingga 2013.

Mereka dijangka dibicarakan selama 10 hari bermula 18 Februari ini atas kesalahan yang berulang-ulang antara 2010 sehingga tahun lalu.

"PAS hari ini menyeru kepada seluruh ahli dan penyokong untuk mengadakan solat hajat agar saudara kita yang berada di Sweden diberi kekuatan dan kesabaran menempuh dugaan.

"Dalam pada itu PAS bersedia menyediakan khidmat gauman yang terbaik secara percuma tetapi ia bergantung kepada persetujuan mereka.

"Apa yang PAS lakukan ini bukan atas dasar politik tetapi keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia," jelasnya.

Katanya lagi, dalam masa yang sama PAS akan turut menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Sweden melalui kedutaan mereka di sini.

"Melalui Lajnah Hubungan Antarabangsa, kita akan menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Sweden agar meneliti kembali keputusan yang dibuat dengan mengambil kira hak orang Islam mengikut ajaran Islam.

"Nota bantahan ini akan dihantar dalam masa terdekat," jelasnya yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau turut memberitahu, PAS tidak bermaksud untuk mempertikaikan sistem perundangan di Sweden tetapi sebagai sebuah negara yang sentiasa bercakap soal demokrasi dan hak asasi manusia, mereka perlu peka dengan ajaran Islam.

Katanya, ajaran Islam telah menetapkan cara untuk sesebuah keluarga itu mendidik anak terutamanya dalam soal ibadat dengan dengan kaedah yang tertentu.

Menurut beliau lagi, kerajaan Sweden boleh menghukum warga asing yang berada di negara itu jika melakukan kesalahan lain seperti jenayah dan lain-lain tetapi dalam soal agama ia perlu diberi penilaian yang khusus serta mangambil pandangan masyarakat Islam yang lain.

No comments: