11 Februari 2014

Ustaz Mad, tol dan Taib Mahmud

11 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Walaupun tidak ada dalam perancangan asal dan tidak sempat mengatur temu janji, petang Selasa lalu, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Ahmad Yakob balik semula ke pejabatnya di Kota Darulnaim, mencuri waktu untuk menemui kami.

Saya, Ketua Pegawai Operasi Harakah, Mohkhtar Rozaidi dan wartawan Arif Juhani berkunjung ke Kota Bharu, 4 dan 5 Februari, bukan untuk mencari berita eksklusif - apatah lagi untuk menelek situasi politik dalaman PAS yang didakwa sebuah portal berita  sebagai bermasalah - tetapi dalam rangka meneliti peluang untuk meningkatkan lagi rangkaian pengedaran Harakah.

Ustaz Ahmad, sepatutnya menyambut ulang tahun ke-64 pada 1 Februari lalu, kelihatan tenang, tulus dan sederhana sekali, juga menyembunyikan kepenatan di wajahnya. Sayang, saya sendiri pula yang agak uzur, sehingga tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya sesi pendek wawancara itu yang diatur pantas Setiausaha Politik MB, Wan Nik Wan Yusof.

Tengahari esoknya, semasa berbincang panjang dengan seorang pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), beliau menceritakan pengalaman awalnya berurusan dengan Ustaz Ahmad dalam suatu mesyuarat.

Katanya, semasa memaklumkan pembinaan projek baru perumahan di sebuah lokasi di Kota Bharu, Ustaz Ahmad terus bertanya, ke mana penduduk di situ hendak ditempatkan. Dan apabila diberitahu jumlah pampasan, Menteri Besar mahu penempatan baru dibina terlebih dahulu sebelum mereka dipindahkan.

"MB cukup prihatin nasib rakyat, terutama yang berpendapatan rendah. Dia akan segera menghubungi wakil rakyat tertentu sebaik mendapat tahu ada penduduk yang ditimpa musibah, seperti kebakaran, dengan menghantar bukti gambar yang dirakamnya sendiri daripada paparan akhbar melalui telefon bimbitnya," tambah pegawai berkenaan.

Ustaz Ahmad turut menekankan soal pelaksanaan undang-undang syariah semasa bercerita pengalaman rombongan kerajaan Kelantan yang diketuainya semasa menghadap Sultan Brunei tidak lama dulu. Beliau sendiri menzahirkan penghargaan kepada baginda di atas komitmen tinggi kerajaan Brunei untuk mula melaksanakan hukuman takzir, April depan.

Ketika mengunjungi anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan, yang turut sama dalam rombongan itu, beliau memberitahu kami bahawa Kanun Jenayah Syariah yang diluluskan oleh Dun Kelantan juga menjadi sumber inspirasi kepada kerajaan Brunei.

"Pada 2006, mereka (rombongan Brunei) datang ke Kelantan untuk belajar mengenai sistem perundangan Islam dan apabila dibawa balik ke Brunei, mereka melakukan penambahbaikan dan meneliti suasana yang sesuai dengan keadaan masyarakat di sana," ujar Dr Fadzli.

Beliau turut menceritakan reaksi Sultan Brunei semasa kunjungan tersebut, khususnya selepas Ustaz Ahmad mengucapkan tahniah: "Kita yang berada di situ boleh nampak riak muka baginda yang sangat terharu dan seperti cuba menahan air mata."

Malam sebelumnya, sambil mencari tempat makan istimewa berdekatan hotel penginapan, saya cuba merisik gosip politik. Sekurang-kurangnya untuk mencari jawapan kepada pelbagai persoalan yang ditimbulkan rakan-rakan di Kuala Lumpur. Kebetulan ada satu dua insiden yang dikaitkan.

"Kelantan sentiasa bergolak, politiknya cukup dinamik, termasuk dalaman parti, tetapi ia dianggap lumrah dan situasi biasa saja, kecuali jika membabitkan dua kelompok besar yang berpengaruh," kata seorang rakan, bekas editor akhbar politik.

"Tak bimbang PAS mungkin jatuh dalam PRU14 di kubu terkuatnya ini? Bukankah ia dalam trend menurun?" usik saya. "Asal jangan bergaduh sesama sendiri sampai terbahagi dua," sambut pantas rakan saya itu, disulami ketawa kecil.

"Harapnya begitulah, terutama bila masuk tahun terakhir menjelang PRU14, pengundi Kelantan memerhati, menilai dan bersedia menghukum," balas saya. "Lama lagi tu," dia berkata.

"Yang penting, jangan buat kesilapan besar, dan aku yakin Ustaz Mad ada kekuatan sendiri untuk teruskan legasi Tok Guru Nik Aziz. cuma Ustaz Mad perlu masa agar dia tidak terus dibandingkan dengan gaya Tok Guru," saya memintasnya. "Elemen pemerintahan Islam dan good governance yang digariskan Tok Guru wajar dimantapkan lagi, dan ini tentu tiada tolak ansur, 'kan?"

"Tapi dengar kata, kemenangan PAS di sini lebih banyak difaktorkan oleh perantau yang balik mengundi, dan bukannya sokongan masyarakat tempatan. Bahaya tu kalau kita gagal membaca sentimen anak Kelantan di luar," tambah saya mengulangi kerisauan banyak pihak lain.

Di Kota Bharu, bertemu kenalan dan pimpinan PAS, isu pilihan raya kecil Kajang tetap menarik minat. Polemik masih sama. Pendapat berbelah bahagi. Saya ditanya kenyataan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat, yang membayangkan penolakan terhadap cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Suhaizan nampak lebih terbuka tetapi dalam kes Kajang ini, bila babitkan Anwar, tertutup pula jadinya, mengapa PAS seperti susah sangat nak terimanya. Dulu menjelang PRU13, PAS juga tolak Anwar sebagai calon PM Pakatan," rungut seorang daripadanya. Dia tertanya-tanya mengapa Suhaizan, dan sebelumnya Ketua Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Sany Hamzan mengambil pendirian sama.

"Suhaizan memang terbuka, mudah berbincang, tapi dia juga faham sensitiviti parti, selain harus menjaga kepentingan PAS, lagipun jawatan MB belum dibincangkan," kata saya. "Usah gundah gulana, akhirnya, selepas diputuskan pimpinan tertinggi Pakatan, semua akur dan saya yakin Pemuda di bawah Suhaizan mempunyai banyak lagi isu besar yang akan diperjuangkannya."

"Sekurang-kurangnya kerana sikap unik Pemuda terhadap PRK Kajang, Suhaizan dijemput RTM bercakap secara langsung, tak mudah dapat peluang itu," tambah saya, disambut ketawa memanjang.

II.

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pembekuan kenaikan kadar tol selama tahun disambut reaksi bercampur, terutama apabila kerajaan terpaksa membayar RM400 juta kepada syarikat konsesi.

Umum maklum, kebanyakan syarikat konsesi mengaut keuntungan besar selama ini dan kerajaan persekutuan sepatutnya tidak perlu membayar pampasan sebanyak itu. Tetapi segalanya tertakluk kepada perjanjian konsesi, yang cukup mengambil berat kepentingan syarikat.

Difahamkan, syarikat konsesi tol merupakan antara penyumbang buat dana kempen pilihan raya Umno-BN. "Duit terpijak" itu digunakan untuk membeli undi bagi memastikan survival kuasa BN tidak terjejas.

Masakan kerajaan langsung tiada ruang untuk merundingkan semula syarat-syarat yang telah dipersetejui secara berat sebelah itu. Menunda kenaikan tol ataupun memanjangkan tempoh konsesi bukan satu penyelesaian, malah akan membebankan pengguna untuk jangka panjang.

"Dari mana pampasan RM400 juta itu diambil? Bukankah wang pembayar cukai juga ataupun hasil pengurangan subsidi minyak dan gula? Rakyat juga yang diperah akhirnya," tulis seorang pembaca setia Harakah melalui emel kepada saya.

Tentu sekali Muhyiddin menafikan keputusan kabinet itu ada kaitan dengan taktik terdesak BN untuk berdepan PRK Kajang, 23 Mac nanti. Selain isu-isu yang dikitar semula, seperti soal seks, yang akan dijadikan tema kempen untuk mengaibkan Anwar, jentera BN akan cuba memperbodoh pengundi dengan mengeksploitasi isu tol ini.

Saya pasti, rakyat belum lupa dengan jaminan BN dalam manifesto pilihan raya 2013 untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat-peringkat. Ya, bukan dengan menangguhkan kenaikan tol tetapi bertindak mengurangkannya, ataupun kalau boleh memansuhkan terus apabila sampai tempohnya.

"Reformasi sebenar terhadap kontrak lebuh raya yang begitu berat sebelah hanya dapat dilaksanakan apabila tidak ada keperluan menggunakan wang rakyat bagi membayar pampasan kepada syarikat tol apabila kenaikan kadar tol ditunda atau dimansuhkan.

"Lagipun kebanyakan operator lebuh raya bertol sudahpun mendapat faedah dan pulangan modal asal. Yang mereka perolehi sekarang adalah keuntungan bersih semata-mata," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Apa pun, saya tetap yakin, solidariti rakyat dan tekanan membantah kenaikan tol merupakan punca utama ia ditangguhkan. Justeru, kekuatan asas ini harus digembleng secara berterusan.

Pamerkan kesepaduan menentang kerakusan dan kesombongan elit penguasa itu, antaranya bukan sahaja memenangkan Anwar di Kajang tetapi memastikan majoriti undinya lebih besar lagi.

III.

Hebahan kemungkinan Ketua Menteri Sarawak yang keempat, Tan Sri Taib Mahmud, 78 tahun, bersara bukan lagi berita. Langsung tidak mengejutkan. Sudah lama rakyat menunggu beliau berhenti daripada jawatan yang disandangnya sejak Mac 1981 menjadikannya paling lama berkuku di negeri yang kaya dengan hasil buminya.

Taib bukan lagi disebut sebagai ketua kerajaan negeri, tetapi umpama ketua negeri, melambangkan kedudukannya seperti seorang maharaja, yang digeruni dan ditakuti, dengan pengaruh dan kuasa tidak terbatas.

Dalam kempen PRU13, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengisytiharkan Taib akan bersara sebelum pilihan raya negeri, yang perlu diadakan tahun 2016. Bagaimanapun, ramai menjangka, Dun Sarawak akan dibubarkan lebih awal, mungkin selepas genap tempoh tiga tahun pasca pilihan raya negeri April 2011.

Dalam satu jamuan makan malam di Kuching pada 12 April 2011, Taib berucap: "Secara terus-terang saya berkata kepada anda.  Saya berkata dari hati saya, kerana saya akan meninggalkan anda dalam masa dua tahun. Sebagai kata perpisahan, saya sayang kamu semua. Tak apa kalau kamu tak dengar kata-kata saya."

Lama sebelumnya, akhbar Borneo Post, 7 November 1995, Taib dilaporkan berjanji akan berundur dalam tempoh lima tahun. Dan saya kira ramai lagi penganalisis politik boleh menampilkan lebih banyak bukti tentang jaminan Taib untuk berundur tetapi tidak tertunai. Malah ada tokoh akademik mendedahkan Taib berjanji lebih sepuluh kali untuk bersara.

Kali ini, terbukti benar Taib akan pencen terus daripada politik tetapi ia tetap bukan berita besar. Dia sudah mendapat segala-galanya. Begitu juga dengan anak beranak dan saudara-maranya. Khazanah kekayaan Sarawak menjadi seperti aset syarikat milik keluarganya.

Anaknya, Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, disebut di dalam mahkamah, mempunyai aset hampir RM2 bilion. Bekas isterinya, Shahnaz A Majid, dalam kes tuntutan mutaah RM100 juta, mendedahkan hal itu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Selain itu, sebuah video bertajuk 'Inside Malaysia's Shadow State' didedahkan sebuah NGO berpangkalan di London, Global Witness yang merakam perbualan penyiasat persendiriannya dengan sepupu Taib, yang menunjukkan saudara Ketua Menteri itu memperolehi tanah dengan mudah dan cuba menjualnya kepada pelabur.

Kemewahan melampau Taib, anak beranak, saudara-mara, ipar-duai dan suku-sakatnya bukan rahsia lagi. Sebuah laman, Sarawak Report banyak membongkar salahguna kuasa, penyelewengan, rasuah dan juga penindasan Taib, bagi "merompak" hasil mahsul kekayaan negeri. Begitu juga dengan Radio Free Sarawak.

Khabarnya, ada beberapa tesis kedoktoran yang menyelongkar penguasaan ekonomi keluarga Taib dan mengaitkannya dengan amalan korupsi dan nepotisme. Sebuah pertubuhan di Switzerland mendakwa anggaran aset Taib sekitar RNM64 bilion.

Semua itu bukan lagi berita panas. Malah, lebih ramai yang tidak mengendahkannya lagi.

Bagaimanapun, apabila Taib - yang penuh kontroversi - diuar-uarkan bakal dilantik Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri, selepas bersara politik, maka saya kira perkembangan ini ada nilai berita yang besar.

Jawatan tertinggi itu tentu tidak sewajarnya diisi oleh tokoh yang terpalit dengan tuduhan rasuah, salahguna kuasa dan korupsi melampau.

Di Semenanjung, kontroversi sama, mungkin dalam skala lebih kecil, pernah berlaku apabila penyandang kedudukan serupa (TYT) diserahkan kepada bekas pemimpin politik (menteri besar yang juga dikaitkan dengan salahlaku rasuah.

Sekali lagi, saya tertarik dengan kenyataan Suhaizan. Pemuda PAS mungkin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon pertimbangan baginda untuk tidak melantik Taib sebagai TYT Sarawak selagi beliau tidak dibersihkan daripada pelbagai dakwaan rasuah.

Soalnya, apakah sukar untuk SPRM membersihkan Taib? Apakah proses siasatan terhadap kes Taib dapat berjalan secara bebas dan profesional, tanpa gangguan Putrajaya?

Jawapan ke atas soalan ini juga mudah untuk ditelah, 'kan?

Justeru, apabila dikhabarkan kemungkinan ada gerakan besar untuk berkempen bagi menghalang Taib daripada dilantik Yang Dipertua Negeri, saya kira usaha itu tidak boleh dipandang remeh.

Biarlah Sarawak benar-benar melalui period yang lebih segar, berwajah baru dengan berintegriti tinggi...

Tiada ulasan: