11 Februari 2014

Sumpah al-Quran kerana bola

11 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Seorang pemain dan penolong jurulatih pasukan T-Team malam tadi bersumpah dengan al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi membuktikan kebenaran insiden kekecohan dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Feb lepas.
  
Upacara itu dilakukan dalam majlis khas di Hotel Tabung Haji (TH) & Convention Center di sini pada kira-kira 10 malam sempena majlis perjumpaan pegawai dan pemain bola sepak Liga Super, Terengganu dan T-Team.
  
Majlis itu diadakan berikutan Menteri Besar Terengganu meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah al-Quran berhubung kebenaran insiden kekecohan dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA antara pasukan itu dengan Johor Darul Takzim (JDT) di stadium itu minggu lepas.

  
Upacara bersumpah itu didahului penolong jurulatih Azlan Johar dan diikuti pemain tengah Khairan Izuan Razali. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
  
Bagaimanapun kelibat pemain pertahanan T-Team, Irfan Abd Ghani yang merupakan bekas pemain JDT yang sebelum ini mengadakan sidang akhbar "mengejut" dengan mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong tidak kelihatan sepanjang majlis perjumpaan itu.

Ahmad dalam ucapannya berkata majlis mengangkat sumpah itu bagi membuktikan kebenaran insiden tersebut dan meminta para pemain dan pegawai yang menyaksikan kejadian tempoh hari itu agar tidak berbohong.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Menteri Besar mencabar Irfan tampil mengangkat sumpah di hadapannya sekiranya dia di pihak yang benar.
  
"Saya sanggup bagi tiket kapal terbang ke sini kepada dia untuk tampil bersumpah. Jangan lakukan pembohongan kepada rakyat Terengganu. Angkat sumpah ini bukan permainan semata-mata. Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan," katanya.
  
Ahmad nyata berbangga dengan kedua-dua individu itu yang tampil bersumpah kerana menurutnya ini jelas membuktikan mereka jujur.
  
Irfan sebelum ini mengeluarkan kenyataan di Johor tanpa pengetahuan majikannya, mendakwa tidak berlaku sebarang insiden dalam terowong ketika menuju ke bilik persalinan dan ini bercanggah dengan pendirian pasukan T-Team yang menyifatkan perkara sebaliknya terjadi. Perbuatannya itu melanggar terma dan syarat yang tertera dalam kontrak pasukan.
  
Beliau telah menghilangkan diri dengan mengemas barangan dari rumah sewanya di Gong Badak, sepertimana yang diberitahu oleh Khairan Izuan yang merupakan rakan serumahnya dan tidak melaporkan diri bersama pasukan sehingga ke hari ini sejak memohon cuti selama dua hari daripada jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah pada 3 Feb. - Bernama

Tiada ulasan: