11 February 2014

Angin kencang, laut bergelora sehingga Sabtu

11 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah, Labuan dan Sarawak diramal berterusan sehingga Sabtu ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam kenyataan hari ini, menyatakan angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dan ombak setinggi 3.5 meter adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. 


Ia juga menyatakan angin kencang timur laut kategori pertama yang melanda kawasan perairan Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef South, Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Sulu turut dijangka berterusan sehingga Sabtu ini. 



Ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (pedalaman, pantai barat, Kudat dan Sandakan), Reef South, Reef North, Layang-Layang dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga tengah hari ini. 

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil. 

- BERNAMA

No comments: