09 February 2014

Belasungkawa: Pak Yazid berjuang di saat PAS masih dagang

9 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
"ZAMAN  enta (kamu) mudah dah ustaz,,. ke mana-mana pergi orang PAS ada... Ceramah pun ramai orang, zaman ana pemuda dulu, PAS ni dagang. Bergerak dengan duit semua sendiri,"ujarnya dengan penuh semangat dan penuh keterujaan mengimbau kembali nostalgia gerakan Islam era dekad 50-an dan 60-an.
"Ana (saya) ceramah di Kelantan,,. Dekat Kubang Kerian... orang tak ada,,, kena sorak lagi. Baru mula ceramah, pemuda tahan lasak (Umno) sorak beramai-ramai," Pak Yazid mengimbau bongkah kenangan, termasuk era tangkapan ISA kepada ulama PAS di awal dekad 60-an.
PAS terus memberikan pencerahan kepada masyarakat, jatuh dan bangun seterusnya muncullah PAS sebagaimana yang tersergam hari ini.
Beliau mencicip air yang terhidang di Restoran Taqwa Taman Melewar Gombak, sesekali membetulkan tempat duduk dan memandang sekeliling dengan penuh bahagia. Ramai yang tersenyum dan mengangkat tangan ke arah sosok daie tersohor ini. Dia murah senyuman dan tabiatnya yang mesra.


Ustaz Yazid terus bercerita… bersulam jenaka, kadang seolah perih mengenang teman-teman yang telah meninggalkan alam yang sementara ini. Saya melontar soalan demi soalan untuk megukuhkan maklumat kajian sarjana tentang 'Pengaruh Ikhwanul Muslimin terhadap perjuangan PAS' di tanah air ini.
Sketsa ini berlangsung pada tahun 2002, usai ceramah umum di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar. Beliau sering hadir dalam ceramah-ceramah besar yang dianjurkan oleh parti, Kehadirannya dihormati oleh semua abnaul harakah. Tidak pelik kerana Pak Yazid begitu lama terlibat dengan perjuangan PAS.
Beliau mantan ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ketua Penerangan PAS Pusat dan lain-lain jawatan penting.
Anak kelahiran Perak ini sangat berwarna warni pengalamannya.  Beliau antara perajurit negara yang pernah bergabung dengan Force 136, terlibat dengan perbarisan hari kemerdekaan yang sangat berharga pada tanggal 31 Ogos 1957. 
Pak Yazid berlangbuana  ke seluruh negara untuk menyebarkan fikrah perjuangan PAS dalam dekad 1960-an. Beliau memimpin anak muda dan juga telah menggunakan kitab ' Peraturan dan Arahan’ nukilan Imam Hasan al Banna sebagai teks usrah. Beliau sangat kagum dengan perjuangan Ikwanul Muslimin di Mesir yang menggerakkan tarbiah dan jihad taalim untuk memancang kefahaman Islam yang syumul dalam masyarakat.
Almarhum banyak berkorban, beliau menjadi staf Pejabat Agung PAS dari tahun 1964 hingga 1974. Banyak pengalaman yang diraih dan menjadi saksi sejarah tentang denai perjuangan harakatul ummah ini.
Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) menentang Tun Abdul Razak di kawasan Parlimen Pekan, juga pengalamannya secara langsung bertembung dengaan pemuda tahan lasak Umno dalam dekad 60-an. Zaman edan itu menyaksikan tindakan ganas pemuda tahan lasak sehingga tahap menumpahkan darah penyokong PAS, malah sehingga terbunuhnya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdul Samad Gol Mianji.
Almarhum Pak Yazid adalah seorang yang rajin belajar, beliau aktif dalam gerakan dan dalam masa yang sama mengambil peluang belajar dan terus belajar. Kecintaan pada ilmu itulah yang memunculkan beliau kemudiannya sebagai pendakwah tersohor Lembah Klang dalam dekad 80-an  dan 1990-an. 
Rumah beliau di Kampung Baru Kuala Lumpur menjadi markas ilmu yang penting setiap hari Ahad sehingga mencecah ribuan pencinta ilmu. Rumah Pak Yazid juga seolah tempat mereka yang memerlukan bantuan datang mengadu. Ramai yang memohon bantuan duit ringgit untuk menyambung pelajaran. Maka Pak Yazid memanfaatkan kehadiran ramai ke majlis ilmu pagi Ahad untuk menyempurnakan hajat mereka yang memerlukan.
Selepas peristiwa Memali 1985 juga, beliau banyak membantu keluarga syuhada yang kesusahan, termasuk membiayai pendidikan anak syuhada.
Beliau akhirnya dengan dokongan masyarakat membuka Al-Ikhwan, sebuah pusat pengajian dan juga  tempat membantu orang miskin.
Almarhum terus aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di masjid, surau, pejabat-pejabat dan pelbagai institusi sehinggalah rakaman kaset-kaset beliau antara yang laris dalam dekad 80-an dan awal 90-an.
Sosok yang peramah ini akhirnya semakin merosot kesihatannya dan beliau  kembali menghadap Ilahi dengan penuh kebaktian, jasa yang menggunung kepada rakyat miskin juga pernah memimpin PAS dengan pelbagai jawatan.
Alfatihah, buat sang daie mesra masyarakat ini.
_____________
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

No comments: