09 February 2014

Taib letak jawatan ketua menteri akhir bulan ini

9 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan meletakkan jawatannya sebagai ketua menteri Sarawak yang dipegangnya hampir 33 tahun pada akhir bulan ini.

Setiausaha Agung BN Sarawak Stephen Rundi Utom berkata Taib secara peribadi menyatakan tempoh masa tersebut kepada kepimpinan BN Sarawak dalam mesyuarat mereka hari ini.

"Beliau (Abdul Taib) kata akhir bulan ini. Ia boleh jadi pada mana-mana tarikh," katanya dalam sidang media selepas kepimpin BN Sarawak bermesyuarat di ibupejabat PBB di Petra Jaya hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan Taib berkata hari ini beliau perlu bergerak "beberapa langkah lagi" sebelum bersara dari jawatannya.  
    
Beliau berkata antara perkara yang perlu beliau lakukan ialah memohon perkenan menghadap Ketua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng untuk memberitahu Tuan Yang Terutama mengenai hasratnya untuk bersara dari jawatan ketua menteri negeri.  
    
"Saya perlu uruskan setiap perkara mengikut susunannya," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional Sarawak di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching.  
    
Taib ialah Presiden PBB dan pengerusi Barisan Nasional Negeri.  
    
Ditanya sama ada beliau akan berundur menjelang hujung bulan ini, Taib menjawab: "Ya...saya fikir begitulah...supaya saya dapat gaji penuh untuk Februari".

malaysiakini.com

No comments: