07 February 2014

Kangkung : Cemarkan Wawasan 2020

7 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Oleh: Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss

Jika saya membuat carian di dalam google dengan menaip 'Najib kangkung', saya melihat sudah lebih empat juta carian yang berkaitan dengannya. Apa signifikannya perkataan kangkung sehinggakan carian di dalam google menunjukkan terlalu banyaknya peminat untuk mencari 'kangkung' di dalam google. Siapakah yang mempopularkan perkataan 'kangkung' sehingga ramainya peminat memperkatakan tentang 'kangkung' di Malaysia.

Saya tinggalkan 'kangkung' sebentar dan cuba mengaitkannya dengan Wawasan 2020 yang telah di bawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia dan ketika itu Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak berjawatan Menteri Pertahanan Malaysia. Semasa Wawasan 2020 ini dikemukakan, kedua-dua tokoh tersebut dalam satu Kabinet dan menjiwainya.

Ianya dikemukakan pada 28 Feb 199, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad penyampaian kertas kerjanya yang bertajuk Laluan ke Depan (The Way Forward) pada Majlis Perdagangan Malaysia mengenai Wawasan 2020. Terdapat sembilan matlamat utama wawasan yang telah dibentangkan ketika itu, antaranya untuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat serupa dan dikongsi bersama.

Selain itu Malaysia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya, secara adil dan didukung oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Ianya juga bagi mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah.

Antara intipati lain adalah mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara. Asas kepada sembilan matlamat itu adalah Malaysia Maju pada tahun 2020 cukup seimbang daripada segi pembangunan, rakyat yang bersatu padu dan mengamalkan gaya hidup sihat daripada segi rohani dan jasmani tanpa melupakan batas agama.

Kini hanya tinggal enam tahun lagi untuk Malaysia memastikan semua
 agenda ke arah itu terlaksana seperti dirancang di dalam merencanakan agar Malaysia menjadi sebuah negara maju ketika itu. Tun Dr Mahathir Mohamad boleh 'mengukur' Wawasan 2020 nya yang kini diketuai oleh Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak yang menjadi popular dengan Tranformasi 'kangkung' nya yang berjaya diturunkan harga yang paling murah.

Jika ketika Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi dilihat gagal untuk mencapai Wawasan 2020 semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia oleh kerana dipengaruhi oleh Menantunya dan Tingkat Empat di Pejabat Perdana Menteri. Kini Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak terganggu dengan program 'Permata' Isterinya yang banyak dipersoalkan dan melambatkan Negara Maju dan mencapai Wawasan 2020.

Termasuklah masalah 'kangkung' yang boleh menggagalkan Malaysia untuk menjadi Negara Maju seterusnya mencapai apa yang di bawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh enam tahun lagi. Kayu ukur Negara Maju oleh Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak kini adalah menjadikan langkah penjimatan pentadbiran kerajaannya akan tetapi masih meneruskan pembaziran yang banyak didedahkan.

Runggutan dari orang-orang penting selain Tun Dr Mahathir Mohamad seperti Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah tentang pentadbiran Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak bakal meruntuhkan keyakinan tercapainya Wawasan 2020. Isu 'kangkung' cukup terkesan dengan pentadbiran Dato' Sri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak dan carian di dalam google telah membuktikan!


*Penulis adalah Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat dan Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments: