07 February 2014

Lelaki hantar surat palsu ADUN keluar parti tampil bantu siasatan - Polis

7 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

IPOH: Polis sahkan lelaki yang menghantar surat palsu ke Pejabat Dewan Undangan Negeri DUN Perak menyatakan seorang wakil rakyat pembangkang keluar parti, sudah tampil untuk membantu siasatan. 

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata lelaki berusia 60-an itu yang mengaku penyokong PKR mendakwa seorang lelaki tidak dikenali mengupahnya untuk menghantar surat berkenaan ke Pejabat DUN Perak pada Selasa lalu. "Lelaki yang diupah untuk menghantar surat itu mengaku tidak mengetahui kandungan surat terbabit. 


"Dia juga mendakwa menerima surat itu daripada lelaki yang tidak dikenalinya ketika hadir pada program perjumpaan politik di Kajang, Selangor. 

"Kita sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti dan mengesan lelaki yang didakwa mengupah bagi penghantaran surat itu," katanya selepas hadir di Perhimpunan Bulanan IPD Ipoh, di sini hari ini. 

ADUN Hutan Melintang, S Kesavan sebelum ini menafikan dia keluar dari PKR kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan parti itu seperti dinyatakan dalam surat yang kononnya beliau tulis dan dihantar ke pejabat DUN Perak. BH/-

No comments: