07 February 2014

TYT S'wak: Mohon Agong pertimbang tidak lantik Taib

7 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia akan memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong agar mempertimbangkan untuk tidak melantik Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selagi belum dibersihkan daripada tuduhan rasuah.

Tindakan ini diputuskan ekoran desas-desus Taib akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan akan dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

Desas-desus ini semakin kuat kerana perkhidmatan Yang di-Pertua Negeri sekarang, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan tamat pada 28 Februari ini.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Taib mesti dibersihkan dahulu daripada dakwaan rahsuah sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

"Pemuda akan bertemu dengan pihak Istana Negara bagi memohon Yang di-Pertuan Agong mempertimbangkan untuk tidak melantik Taib sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selagi beliau belum dibersihkan daripada rasuah dan pengesahan tapisan tidak dimaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Sarawak," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Suhaizan juga berkata, Pemuda PAS Malaysia memandang serius kemungkinan Taib akan menjadi Yang di-Pertua Negeri kerana beliau sering dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru pihaknya akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendesak Taib disiasat dan didakwa.

"Sebelum ini SPRM seolah-olah berhalangan untuk mendakwa Taib malah kami dimaklumkan SPRM gagal menyiasat sepenuhnya beliau mungkin kerana kuasa yang dimilikinya.

"Justeru kami melihat perletakan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri merupakan peluang keemasan bagi SPRM untuk membuka semula kertas siasatan sebelum ini dan menjalankan penyiasatan baru dan pendakwaan," tegasnya.

Selain itu Pemuda PAS Malaysia juga menuntut penjelasan dan jawapan balas daripada Pusat Zakat Sarawak, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara berkenaan status zakat, cukai dan skandal beliau serta pengesahan tapisan daripada agensi berkenaan sebelum beliau dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri.

"Jika beliau gagal dihadapkan ke muka pengadilan tetapi tetap dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, rakyat akan menyaksikan pengulangan kes yang sama seperti yang berlaku ke atas Tan Sri Khlail Yaakob di Melaka, apabila  tuduhan dan aduan rasuah  ke atas beliau lenyap sama sekali setelah dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Melaka," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Exco Pemuda PAS Malaysia Sany Hamzan dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Jangkaan Taib akan meletakkan jawatan mula timbul selepas beliau  itu memanggil mesyuarat tergempar bersama Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri hujung minggu ini.

Taib  memerintah Sarawak sejak 33 tahun bermula tahun 1981 dan merupakan pemimpin kerajaan yang berkhidmat paling lama di negara ini.
Harakahdaily/-

No comments: