20 Februari 2014

Kelantan tingkat usaha kutip dana Tabung Serambi Mekah

20 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
PASIR PUTEH: Kerajaan Kelantan akan meningkatkan usaha mengutip dana bagi mengisi Tabung Serambi Mekah yang bertujuan membantu rakyat negeri itu yang ditimpa musibah.

     
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob turut merayu anak Kelantan termasuk tokoh korporat menderma mengisi tabung itu bagi mengatasi kutipan tahun lepas yang berjumlah RM3 juta.
    
"Alhamdulillah, setakat ini rakyat Kelantan suka menderma," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang daripada dana Tabung Serambi Mekah berjumlah RM8,000 kepada mangsa kebakaran di Jalan Nara di sini, petang semalam.
    
Dua hari lepas, sederet rumah kedai enam pintu musnah dalam satu kebakaran menyebabkan pemilik kedai terbabit mengalami kerugian yang ditaksir RM300,000 hingga RM400,000.
    
Mengulas perkara lain, Ahmad meminta masjid-masjid di Kelantan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat ini memohon Allah menamatkan musim kemarau yang melanda sekarang.
    
"Selain memohon kepada Allah rakyat juga perlu memainkan peranan dengan tidak membuang puntung rokok di kawasan semak dan tidak melakukan pembakaran secara terbuka yang boleh menyebabkan kebakaran," katanya.
    
Ahmad berkata agensi kerajaan terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat perlu turun padang untuk memberi penerangan kepada rakyat tentang bahaya kebakaran dan kaedah mencegahnya.
    
Selasa lepas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman berkata, sejak Januari lepas 12 kes kebakaran dilapor berlaku.
    
Azmi berkata antara kawasan yang berisiko tinggi ialah Pasir Mas, Bachok dan Pasir Puteh yang mempunyai tanah gambut. 

– Bernama

Tiada ulasan: