13 February 2014

'Pakatan Membela Rakyat' tema konvensyen kelima 8 Mac

13 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengadakan konvensyen kali kelima pada 8 Mac nanti yang bertemakan 'Pakatan Membela Rakyat'.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Ir Iskandar Abdul Samad yang dilantik sebagai Pengarah Jawatankuasa Kerja Konvensyen berkata, konvensyen kali ini telah menetapkan beberapa objektif sebagai agenda utama.

Jelasnya, antara objektif konvensyen adalah untuk mengumpul para aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat dalam konvensyen tahunan.

"Mesyuarat para pimpinan utama Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk mengadakan konvensyen tahunan seperti biasa.

"Konvensyen akan diadakan pada 8 Mac (Sabtu) di Selangor dan tempat itu akan diputuskan kemudian, kita mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 1,000 orang perwakilan.

"Objektif konvensyen kali ini adalah untuk mengumpulkan para aktivis dan pimpinan Pakatan Rakyat serta menunjukkan kesatuan dan menaikan semangat kebersamaan parti-parti Pakatan Rakyat, selain itu kita mahu memberi pengarahan muktahir kepada para aktivis dan penggerak parti," jelasnya pada sidang media di Bilik Media Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain Iskandar, Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie turut dilantik sebagai Timbalan Pengarah 1 dan Naib Pengerusi DAP negeri, Datuk Teng Chang Khim dilantik sebagai Timbalan Pengarah 2.

Iskandar turut menyatakan sempena konvensyen ini, jawatankuasa penganjur turut mengadakan pertandingan mencipta logo konvensyen kali ini yang dibuka kepada seluruh warga Malaysia dengan tema warna jingga, yang menyediakan hadiah utama sebanyak RM1,500.00.

Tarikh tutup pertandingan itu adalahan pada 25 Februari (Selasa) jam 5 petang dan penyertaan boleh dihantar ke email sektretariatpakatan@gmail.com.

Beliau yang ketika ditanya mengenai isu-isu yang dijangkakan panas pada perbahasan konvensyen akan datang, jelasnya objektif konvensyen telah ditetapkan oleh pimpinan tertingggi Pakatan Rakyat dan jawatankuasa penganjur.

Namun, katanya apa jua isu yang akan dibahaskan itu bergantung kepada para perwakilan.

"Kita tidak menjangkakan apa isu yang menjadi panas, tetapi pihak jawatankuasa penganjur dan pimpinan tertinggi telah pun menetapkan objektifnya.

"Kita menghormati hak perwakilan dan terpulang kepada mereka untuk membahas apa jua isu," sambung beliau yang juga Exco Kerajaan Selangor.

Negeri Selangor menjadi tuan rumah kali ketiga Konvensyen Pakatan Rakyat selepas konvensyen kedua di Pulau Pinang dan ketiga di Kedah.

Iskandar mengharapkan konvensyen kali ini menjadi pemangkin kepada Pakatan Rakyat untuk terus mendominasi politik dalam negara ini.
Harakahdaily/-

No comments: