13 Februari 2014

Guru tetap berdemonstrasi, janji Muhyiddin hanya penyedap hati

13 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Kumpulan guru anggap janji Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kaji Pentaksiran Berasaskan Sekolah sebagai janji kosong. Gambar fail.















Kumpulan guru anggap janji Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kaji Pentaksiran Berasaskan Sekolah sebagai janji kosong. Gambar fail.









Keputusan untuk mengkaji semula Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh oleh Putrajaya sekadar penyedap hati, kata Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

Jurucakap kumpulan guru tersebut, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, berkata rancangan untuk berdemonstrasi tetap akan diteruskan mengikut jadual, tanpa menghiraukan janji Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bagi SGMM, kita akan tetap meneruskan rancangan untuk mengadakan perhimpunan pada 22 Februari, seperti yang sudah dirancang.
"Kita juga mempergiat kempen mendesak kerajaan memansuhkannya, bukan dikaji lagi," katanya kepada The Malaysian Insider.
Kumpulan pendesak guru tersebut merancang untuk mengadakan bantahan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 22 Februari untuk mendesak Putrajaya menghentikan program penilaian tiga tahun pelajar.
SGMM mendakwa sistem PBS menambah beban kepada guru dan tidak memberikan manfaat kepada mereka.
"Kita juga tidak mahu menteri mengeluarkan kenyataan demikian hanya untuk membatalkan hasrat kami berhimpun, bukannya memandang isu yang sebenar iaitu tentang sistem PBS.
"Pesan kami jangan jadikan ia langkah penyedap hati demi menghentikan perhimpunan," katanya.
Bantahan daripada bidang perguruan amat jarang diadakan dan perhimpunan kali ini menunjukkan warga pendidik semakin tidak berpuas hati terhadap sistem PBS.
Perhimpunan guru itu dikatakan akan tetap diadakan walaupun Putrajaya sudah berulang kali memberikan kaminan bahawa PBS adalah keperluan kepada pembaharuan sistem pendidikan kebangsaan dan penambahbaikan kepada sistem akan diselesaikan April ini.
Mohd Nor Izzat berkata, pihaknya tidak menjangkakan ramai guru akan turut serta dalam perhimpunan itu kerana wujudnya sikap birokrasi kerajaan sehingga menyebabkan kebanyakan guru tidak berani menyatakan pandangan mereka.
"Seperti yang diketahui, guru seperti kami terikat dengan satu sistem birokrasi yang dilahirkan oleh kerajaan Malaysia daripada kementerian.
"Maknanya kebanyakan guru takut dan kami tidak letak harapan yang tinggi untuk ramai guru datang pada perhimpunan bantahan itu. Saya letak sasaran lebih daripada 10 guru sahaja, itu pun sudah cukup baik sebagai simbolik,” katanya.
PBS dilaksanakan pada 2011 bermula dengan murid tingkatan satu, dan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan melahirkan murid cemerlang dalam pelbagai segi, berbanding berorientasikan peperiksaan.
Menerusi sistem ini, tiada peperiksaan akhir tahun dan setiap hari guru dikehendaki menilai pelajar berdasarkan enam tahap, bermula daripada aras pemahaman sehingga tahap tauladan.
Data kemudiannya direkodkan ke dalam sistem komputer berpusat.
Selepas ia dilaksanakan, pelbagai kritikan dibuat oleh tokoh pendidik, termasuk bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Aziz.
Ungku Aziz berpendapat, jika tiada tangan gatal yang mengusik dan merombak sistem pendidikan Malaysia sesuka hati, beliau yakin pendidikan negara tidak akan menjadi carca-marba seperti yang berlaku sekarang.
Putrajaya selepas ditekan mengumumkan untuk mengkaji semula sistem PBS secara menyeluruh.
themalaysianinsider.com

Tiada ulasan: