13 February 2014

Taib letak jawatan 28 Feb, Adenan KM baru Sarawak

13 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUCHING: Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Feb dan akan digantikan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem (gambar).
  
Beliau berkata surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini.
  
"Apabila saya memaklumkan kepada beliau (Tun Abang Muhammad Salahuddin) mengenai niat saya  (untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri), beliau tiada bantahan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Astana Negeri di sini.

Beliau berkata nama Adenan yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dicadangkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan beliau bersetuju dan majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu akan diadakan pada 28 Feb.
  
"Adenan mewakili satu bentuk perjanjian antara tiga calon (yang disebut-sebut mengantikan Taib sebagai Ketua Menteri)," katanya.
  
Dua lagi calon ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - Bernama

No comments: