08 March 2014

Keluarga Penumpang MH370 Mula Berkumpul Di Menara Tinjau, KLIA

6 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -

SEPANG: Kira-kira 20 individu dipercayai anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang, dilihat berkumpul di bilik Menara Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Menurut seorang wanita yang berjaya disapa oleh anggota media yang menunggu di luar bilik berkenaan, mereka sedang menunggu perkembangan terkini berhubung kejadian.
Kami keluarga penumpang, katanya ringkas sebelum masuk ke bilik berkenaan.


Mereka mula tiba di bilik yang terletak di tingkat lima Balai Perlepasan itu sejak pukul 10 pagi.
Bagaimanapun anggota media tidak dibenar menemu bual mereka.
Lima anggota pasukan keselamatan Malaysia Airports Holding Berhad kelihatan berkawal di luar bilik itu.
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dilapor terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ketika berada di ruang angkasa Malaysia-Vietnam.Pesawat B777-200 itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi. - BERNAMA

No comments: