26 Mac 2014

Malindo Air ke Terengganu mendarat di Subang, enjin terbakar

24 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malindo Air ke Kuala Terengganu terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Subang di sini pagi ini selepas sebuah daripada enjinnya terbakar.

Syarikat itu dalam kenyataan di sini, berkata pesawat tersebut berlepas pada 7.30 pagi sebelum insiden berlaku ketika pesawat berada di ketinggian 7,000 kaki.
    
Menurut kenyataan itu, sistem pengesan kebakaran pesawat diaktifkan dan anak kapal melaksanakan langkah mengikut prosedur operasi standard bagi mengawal keadaan.
    
"Juruterbang memutuskan berpatah balik ke Subang dan pesawat mendarat dengan selamat tanpa insiden lain dan tiada kecederaan dilaporkan. Semua penumpang kemudian dibawa menaiki penerbangan lain ke Terengganu," kata kenyataan itu.
    
Kenyataan itu juga menyebut punca kejadian dalam siasatan dan semua pihak berkaitan sudah dimaklumkan.
    
Difahamkan antara penumpang pesawat itu ialah pemain pasukan bola sepak Terengganu yang dalam perjalanan pulang selepas perlawanan menentang pasukan ATM  di Stadium Selayang semalam. Terengganu menang 3-0.
    
Foto enjin terbakar yang dimuat naik menerusi laman sosial oleh pemain tengah Terengganu Faiz Subri pagi tadi kini tersebar luas di ruang siber.
    
Menurut kenyataan yang dipapar oleh laman sesawang Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, pasukan itu menaiki penerbangan ganti ke Kuala Terengganu pada 10 pagi tadi. 

Bernama

Tiada ulasan: