26 March 2014

PRK Kajang: Saya puas hati, kata Presiden PAS

24 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan jentera PAS ketika membantu PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, 23 Mac lalu.

Bercakap kepada Harakahdaily, Ustaz Abdul Hadi turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera PAS khususnya PAS Selangor dan PAS Hulu  Langat, yang menurutnya telah berkerja dengan baik.


"Saya puas hati dengan jentera PAS. Mereka buat kerja dengan baik. Semua turun membantu.

"Kita tunjukkan bahawa PAS konsisten bantu rakan-rakan Pakatan Rakyat dan kali ini PKR," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily di Parlimen semalam.

Pada pilihan PRK Kajang 23 Mac lalu, calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 5,379 undi setelah memperoleh 16,741 undi manakala calon BN mendapat 11,362.

Biarpun peratusan keluar mengundi merosot kepada 72.1 peratus atau 28,314 pengundi berbanding 88.4 peratus atau 34,290 pada PRU13 lalu, namun Pakatan Rakyat menang undi Melayu pada PRK kali ini.

Turut meningkat, peratusan undi popular terhadap PKR yang hampir mencecah 60 peratus.

Pada PRK Kajang lalu, PAS turun sebagai jentera pembantu kempen PKR yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abd Samad.

Mereka dipertanggungjawab untuk menjaga kesemua 16 Unit Peti Undi (UPU) yang terlibat dalam pilihan raya itu.

Presiden PAS sendiri dua kali turun ke Kajang bagi membantu kempen, manakala pimpinan PAS yang lain ada yang berkampung di sana sepanjang tempoh kempen.

Harakahdaily

No comments: