26 March 2014

MH370: Solat jenazah ghaib tidak perlu diadakan sekarang - Majlis Fatwa

24 Jamadil Awwal 1435. [MOD] -
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan malam tadi menetapkan pelaksanaan solat jenazah ghaib untuk penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370 tidak perlu diadakan sekarang, kata pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin.


Katanya anggota jawatankuasa sebulat suara bersetuju dan memutuskan bahawa kesemua anak kapal dan penumpang MH370 dikategorikan sebagai orang hilang (mahqud) dan dianggap sebagai orang yang telah meninggal dunia setelah usaha pencarian dibuat oleh pihak berkuasa.
Keputusan itu dibuat setelah berbincang dan meneliti pandangan ulama dan beberapa pakar dalam subjek berkenaan selepas muzakarah khas bersidang lebih dua jam mulai 6 petang semalam, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan di sini.

Jawatankuasa fatwa juga memutuskan bahawa pengesahan kematian perlu dilakukan dan ditentukan di Mahkamah Syariah memandangkan ia penting untuk membolehkan pembubaran perkahwinan, pembahagian harta dan lain-lain yang membabitkan waris si mati, katanya.

Sehubungan itu, katanya, solat jenazah ghaib tidak diperlukan lagi buat masa sekarang kerana pihak kerajaan masih berusaha mencari kotak hitam, mencari mayat mangsa sekiranya ada dan pelbagai perkara yang berkaitan.

Abd Shukor berkata sekiranya pasukan penyelamat menemui cebisan mayat yang tidak dikenali langsung, cebisan berkenaan wajib dikumpulkan dan dimandikan sama seperti pengurusan jenazah Islam kerana mayat berkenaan tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya, kata Abd Shukor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat semalam bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi malang yang menimpa pesawat berkenaan mengatakan bahawa Jawatankuasa Khas Majlis Fatwa Kebangsaan akan bersidang petang ini untuk menentukan tarikh dan waktu pelaksanaan solat jenazah ghaib bagi penumpang dan anak-anak kapal pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Anggota jawatankuasa fatwa berpendapat bahawa orang Islam yang terkorban dalam tragedi MH370 sebagai mati syahid akhirat. Selain itu, solat hajat dan doa untuk pesawat MH370 yang hilang itu dibolehkan agar Allah SWT mempermudahkan pencarian pesawat tersebut," katanya.

Abd Shukor berkata anggota jawatankuasa fatwa khas itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan dari pelbagai negara lain di seluruh dunia atas kesungguhan mereka mencari pesawat MH370 itu. 

Bernama

No comments: