03 April 2014

Bekas Presiden Pakistan Terselamat Cubaan Membunuhnya

2 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
ISLAMABAD: Bekas Presiden dan Ketua Turus Angkatan Tentera Pakistan, Pervez Musharraf, yang kini sedang dibicarakan atas dakwaan menderhaka terselamat daripada percubaan membunuhnya.

Sebuah bom telah diletupkan pada laluan di mana konvoi kenderaannya dijadualkan untuk bergerak.

Dan dia terselamat kerana kenderaannya lewat melalui tempat yang diletupkan itu.
Setiap hari, Pervez akan dibawa dari Hospital Tentera di mana dia sedang mendapatkan rawatan ke tengah-tengah bandar ini untuk perbicaraan kesnya.
Tetapi hari ini, dia telah dijadualkan untuk kembali ke kediamannya di pinggir bandar ini.
Pergerakannya sentiasa dikawal ketat dengan iringan beberapa buah kenderaan polis dan tentera.
"Hasil siasatan kami mendapati, bahan letupan seberat empat kilogram telah ditanam di bawah jambatan dan ia meletup 20 minit sebelum konvoi yang membawa bekas jeneral itu melalui laluan tersebut," kata jurucakap polis, Liaqat Niazi.
Pervez kemudiannya telah dibawa pulang ke rumahnya menerusi satu lagi laluan alternatif.
Sementara itu, jurucakap polis Islamabad Muhammad Naeem, mengesahkan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai satu percubaan untuk membunuh Pervez.
"Nasib baik tiada siapa yang terbunuh atau tercedera dalam kejadian itu," katanya.
Pervez Musharraf, yang memerintah Pakistan dari 1999-2008, kini berhadapan dengan dakwaan mengkhianati negara apabila pada penghujung pemerintahannya beliau telah mengantung perlembagaan, memecat ketua hakim negara dan mengisytiharkan undang-undang darurat.
Beliau kemudiannya meletakkan jawatan dan berhijrah ke Dubai.
Bagaimanapun beliau membuat kesilapan dengan kembali ke Pakistan pada Mac tahun lalu untuk bertanding dalam pilihan raya umum - hanya untuk mendapati yang beliau telah diharamkan untuk bertanding dan kemudiannya ditahan atas pelbagai dakwaan termasuk menderhaka kepada negara.
Ini adalah percubaan keempat untuk membunuhnya. Tiga daripada percubaan sebelum ini berlaku ketika beliau masih menjadi presiden lagi.
mStar

Tiada ulasan: