03 April 2014

Hudud: Kelantan kemuka rang undang-undang

2 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
KOTA BHARU - Hukum hudud dapat dikuatkuasakan di Kelantan selewat-lewatnya Januari depan sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan rang undang-undang persendirian dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya kini membuat persiapan dan akan memilih sesi sesuai di Parlimen untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan hukuman itu sebagaimana diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

“Rang undang-undang persendirian itu akan meminta sidang Parlimen meluluskan satu akta untuk membenarkan kerajaan negeri melaksanakan hukum jenayah syariah di Kelantan sahaja.

“Satu lagi rang undang-undang persendirian yang akan dibawa ialah bagi meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidang kuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan supaya boleh menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Kerajaan Pusat bersedia untuk membuka laluan pelaksanaan hudud dan memberikan syarat agar ia dibentangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Ahmad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata, Akta Mahkamah Syariah yang ada sekarang mengehadkan hukuman syariah kepada ‘formula 356’ iaitu penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.

Ahmad berkata, kerajaan negeri bersyukur dan berterima kasih atas kesediaan Kerajaan Persekutuan memberikan kerjasama serta komitmen bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hukuman syariah di negeri ini.
Menurutnya, keputusan berhubung perkara itu (mengemukakan rang undang-undang di Parlimen) telah diputuskan di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam.

Mengulas isu Lebuh Raya Kota Baharu-Kuala Krai, Ahmad berkata soal kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak berbangkit, malah pihaknya mengalu-alukan tindakan (Kerajaan Persekutuan) memandangkan ia tanggungjawab pemerintah.

“Apa yang diputuskan, akan tetap diteruskan, Kerajaan Persekutuan akan membinanya secara berperingkat, iaitu dari Pasir Hor ke Kadok, kemudian Kadok ke Machang, begitu juga kerajaan negeri, dengan konsep sama (berperingkat), dari Machang ke Kuala Krai, adapun selepas lokasi itu mungkin boleh diadakan perbincangan,” katanya.

Sinarharian

No comments: