19 April 2014

Hudud di Kelantan tidak cabul persefahaman Pakatan

20 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
KEMAMAN: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tindakan kerajaan negeri itu untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hukum hudud tidak mencabul persefahaman dalam Pakatan Rakyat.

Ini, katanya kerana Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah II negeri itu sebelum wujudnya Pakatan Rakyat.

Lagipun tambahnya, apa yang diusahakan oleh Kelantan itu adalah untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah di negeri berkenaan bukannya di Malaysia.

“Kita (Kelantan) tidak cabul perjanjian Pakatan Rakyat, benda ni (hudud) sebelum Pakatan mari,” ujarnya ketika berucap pada majlis ceramah sempena Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, malam tadi.

Turut berceramah ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan menyeru semua pihak supaya menghormati usaha kerajaan negeri itu untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II.

Menurutnya lagi, rakyat negeri itu juga mahu melihat pelaksanaan kanun jenayah syariah yang telah diluluskan oleh Dun Kelantan. 

Ini, tegasnya dibuktikan dengan sokongan yang telah diberikan oleh rakyat Kelantan melalui pilihan raya umum lebih 20 tahun lalu.

Baginya, mandat yang diberikan oleh rakyat itu lebih besar daripada referendum supaya undang-undang jenayah syariah dilaksanakan.

Justeru, kata beliau memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud adalah menghormati keputusan rakyat yang terus memberikan mandat kepada PAS negeri dalam pilihan raya.

Harakahdaily

No comments: