19 April 2014

Bluefin-21 antara AUV terbaik

20 Jamadil Akhir 1435. [MOD] -
PERTH - AUSTRALIA.  Bluefin-21 yang digunakan dalam pencarian dalam air untuk mengesan pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines di selatan Lautan Hindi dianggap sebagai kenderaan dalam air autonomi (AUV) terbaik bagi operasi seperti itu.

Charitha Pattiaratchi, profesor oseanografi pantai dari University of Western Australia berkata mungkin ada hanya beberapa AUV yang dapat bertahan daripada tekanan dalam air pada kedalaman 4,500 meter, dengan keupayaan yang sama seperti Bluefin-21.
"Ada yang boleh menyelam ke paras kedalaman yang serupa tetapi peralatan itu tidak banyak. 


Peralatan ini adalah yang terbaik yang kita ada dan kita perlu menggunakannya," kata beliau ketika diwawancara oleh media Malaysia di sini. 

Bluefin-21 digunakan dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan dikesan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu. 
Pesawat Boeing 777-200ER bersama 239 orang di dalamnya hilang daripada imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. 

Bluefin-21, yang menggunakan sistem pengesan sonar untuk menghasilkan peta tiga dimensi bagi mengesan serpihan di dasar laut dihantar untuk misi pencarian kelima pada Jumaat. 
Setakat ini, tiada petunjuk kukuh ditemui berdasarkan analisis data daripada empat misi pencarian sebelumnya menggunakan kapal selam mini tanpa pemandu itu.    

Pattiaratchi berkata memang ada peralatan yang mampu sampai ke kedalaman melebihi 5,000 di dasar laut.     Bagaimanapun, beliau berkata peralatan seperti itu beroperasi berbeza daripada Bluefin-21 termasuk bergerak pada kelajuan yang kurang pantas.

Zon pencarian MH370 itu kini meliputi 1,300 kilometer persegi.    


MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.


Misi pencarian yang disertai pelbagai negara bagi menjejaki pesawat MH370 itu bermula di Laut China Selatan. 
Analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia. 

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi". 

- Bernama

Tiada ulasan: