13 May 2014

Ahmad Said umum keluar UMNO

12 Rejab 1435. [MOD] -

ahmad said
Ahmad Said

Selepas dikejutkan dengan berita peletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar petang Isnin, terbaharu beliau mengumumkan keluar daripada Umno beberapa jam selepas penggantinya mengangkat sumpah jawatan.

Berikutan tindakannya itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal ini menjadi calon Bebas.

"Saya dengan ini meletakkan jawatan saya dalam parti berkuatkuasa serta-merta. Saya juga mengisytihar keluar daripada UMNO dan menjadi wakil rakyat bebas bagi Dewan Undangan Negeri Kijal," katanya dalam sepucuk surat yang ditandatangani olehnya.

Bagaimanapun, Ahmad Said tidak keseorangan apabila Adun Ajil, Ghazali Taib turut mengisytiharkan keluar daripada Umno berkuatkuasa serta-merta.
Surat berkenaan turut ditandatangani oleh Ghazali. 
Sumber terdekat dengan Ahmad Said mengesahkan mengenai peletakkan jawatannya dan beliau akan mengadakan satu sidang media mengenainya pada Selasa.
Dengan perkembangan terbaharu ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat masing-masing menguasai 15 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di mana PAS menguasai 14 kerusi DUN, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR)  pula satu kerusi. 

Jika benar Ahmad dan Ghazali keluar meninggalkan Umno ini bermakna kedudukan kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) boleh tumbang seandainya mereka memilih untuk menyokong pakatan sebagai wakil Bebas.

Dan jika ini berlaku, Ahmad Razif hanya sempat menyandang jawatan menteri besar untuk beberapa jam sahaja iaitu yang tersingkat dalam sejarah negeri itu.

Terdahulu, pada pukul 9.25 malam Isnin, Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu bagi menggantikan Ahmad Said dihadapan Sultan Terengganu, sultan Mizan Zainal Abdin di Istana Syarqiyyah di Cendering dekat Kuala Terengganu.
Spekulasi memuncak kebelakangan ini  bahawa Ahmad akan digantikan berikutan adanya perjanjian tidak rasmi beliau bersetuju mengekalkan jawatan menteri besar untuk selama setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tahun lalu.

Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah pelantikan daripada Sultan Terengganu pada 9 Mei 2013.

Beliau pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008.

No comments: