13 May 2014

Adun Kemasik nafi keluar Umno

12 Rejab 1435. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Seorang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Terengganu hari ini menafikan khabar angin bahawa beliau akan keluar daripada Umno dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas seperti tiga lagi wakil rakyat daripada parti itu yang berbuat demikian.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik Ir Rosli Othman memberitahu Bernama melalui telefon bahawa beliau masih bersama Umno bertentangan dengan mesej yang tersebar melalui SMS selepas tiga wakil rakyat mengisytiharkan mereka keluar parti.

Antara mesej yang tersebar melalui SMS itu menyebut bahawa Rosli ialah seorang daripada tiga wakil rakyat BN dari Umno yang keluar daripada parti itu dan menyertai tiga yang lain bagi mengisytiharkan mereka sebagai wakil Bebas.


Bekas Menteri Besar Terengganu dan Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said, Adun Ajil Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud mengisytiharkan awal hari ini keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Ini berikutan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar semalam dan majlis mengangkat sumpah jawatan Adun Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar yang baharu malam tadi.

Dengan pergolakan itu, BN kini mempunyai 14 kerusi DUN diikuti PAS (14), PKR (satu) dan tiga wakil Bebas. 

Bernama

No comments: