13 Jun 2014

Hoki Piala Dunia: M'sia ditempat tercorot

15 Sya'aban 1435. [MOD] -

Malaysia mempamerkan aksi longlai apabila kalah 6-2 kepada Afrika Selatan pada penentuan tempat ke-11 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di Stadium Kyocera, The Hague, Belanda, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menduduki tempat terakhir daripada 12 pasukan yang merupakan kedudukan terburuk sepanjang enam penyertaan mereka pada Piala Dunia sebelum ini.
    
Lebih mendukacitakan, Malaysia menduduki tangga tercorot kumpulan A tanpa mengutip sebarang mata selepas kalah kesemua lima perlawanan.
 
Mereka kalah 4-0 kepada juara bertahan, Australia pada aksi pembukaan 31 Mei lepas sebelum tunduk 6-2 kepada Belgium, dua hari kemudian.
    
Ini disusuli dengan kekalahan 2-0 kepada England pada 5 Jun, 3-2 kepada India (7 Jun) sebelum diaibkan 5-2 kepada Sepanyol, dua hari kemudian.
    
Dalam pertemuan dengan Afrika Selatan itu, skuad negara bermula cemerlang selepas Muhammad Firhan Ashaari menjaringkan gol pembukaan menerusi percubaan solo pada minit ke-26 dan ia kekal sehingga separuh masa pertama.
    
Ketiadaan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor di atas padang kira-kira lima minit pada awal babak kedua akibat layangan kad kuning oleh pengadil perlawanan, pantas dimanfaatkan oleh pasukan Afrika Selatan bermula dengan jaringan penalti strok oleh Justin Reid-Ross pada minit ke-43.
    
Justin terus mengorak langkah dengan menambah dua lagi jaringan pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-45 dan 48 sebelum Lloyd Norris-Jones meledak gol keempat, selang dua minit menerusi jaringan padang.
    
Kapten pasukan Afrika Selatan, Austin Smith menjaringkan gol kelima untuk pasukan ranking ke-12 dunia itu menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-63, sebelum Jean-Pierre de Voux memastikan kemenangan bergaya dengan gol keenam, lima minit kemudian.
    
Malaysia berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi bekas kapten, Mohd Shahrun Nabil Abdullah hasil percubaan solo, seminit kemudian namun ia gagal menghalang pasukan lawan daripada meraih kemenangan pertama pada kejohanan edisi ke-13 itu.
    
Untuk rekod, Afrika Selatan menduduki tangga tercorot kumpulan B dengan kutipan satu mata selepas sekadar mencatat satu seri selain ditimpa empat kekalahan.
    
- Bernama

Tiada ulasan: