13 Jun 2014

Korea Selatan rombak kabinet berikutan tragedi feri

15 Sya'aban 1435. [MOD] -

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye merombak kabinetnya hari ini dengan menggantikan tujuh menteri berikutan kritikan berhubung cara pentadbirannya menangani tragedi feri April lalu. 

Ia adalah rombakan kabinet pertama secara besar-besaran sejak beliau mengambil alih pentadbiran Februari tahun lalu sebagai Presiden Korea Selatan wanita yang pertama. 


Perubahan paling besar membabitkan Choi Kyoung-Hwan bagi menggantikan Hyun Oh-Seok sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab ke atas ekonomi, kata pejabat presiden. 

Park juga menamakan enam menteri baru bertanggungjawab bagi hal ehwal keselamatan, pendidikan, pekerja, budaya, kesaksamaan gender dan sains. 

Chong Jong-Sup, profesor undang-undang Universiti Nasional Seoul dilantik mengetuai Kementerian Keselamatan dan Pentadbiran Awam, yang akan mengetuai perubahan yang dijanjikan berikutan tragedi Sewol, yang meragut nyawa hampir 300 orang, sebahagian besarnya pelajar. 

Awal minggu ini, Park melantik Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Chung Hong-Won, yang didesak supaya meletakkan jawatan berikutan tragedi Sewol itu. - AFP 

Tiada ulasan: