13 June 2014

MCA, Gerakan dijangka sertai kabinet hari ini?

15 Sya'aban 1435. [MOD] -


Khabar angin mengenai rombakan kabinet sejak awal minggu ini, bakal terjawab hari ini apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan akan mengumumkannya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, lapor Berita Harian hari ini.

Desas desus itu bertambah kuat apabila beliau dijangka menghadiri perasmian Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Teluk Intan esok selepas pilihan raya kecil parlimen itu 31 Mei lalu.
Pada kempen pilihan raya kecil itu, Najib mengumumkan akan melantik Presiden Gerakan yang juga calon BN Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong sebagai menteri jika parti itu menang.

Laporan itu menyebut Mah dikatakan akan dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala dua pemimpin MCA bakal dilantik jawatan menteri pengangkutan dan timbalan menteri kewangan.

Penyertaan semula Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Wee Ka Siong dalam Jemaah Menteri dibuat sejajar dengan keputusan mesyuarat agung luar biasa parti itu pada 23 Februari lalu yang meluluskan resolusi menerima jawatan dalam kerajaan.

Dalam laporan akhbar itu yang memetik sumber juga menyebut, tiga menteri dari Umno bakal berubah portfolio, manakala seorang dikatakan akan digugurkan.

Dalam laporan itu juga, rombakan itu bakal menyaksikan pemimpin Parti Tindakan Rakyat Sarawak (TERAS) menggantikan sekurang-kurangnya seorang timbalan menteri dari Sarawak.

Manakala menteri, timbalan menteri dari Sabah serta anggota kabinet MIC dijangka tidak berubah.
malaysiakini.com

No comments: